Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Suasana Hari Raya dahulu, sekarang ada kelainan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Kemeriahan sambutan Hari Raya tidaklah semeriah sambutan pada tahun-tahun sebelumnya, di mana jika sebelum ini kelibat kanak-kanak datang berkunjung pastinya akan memeriahkan lagi suasana Hari Raya.

    Selain kanak-kanak yang datang secara berkumpulan ke rumah-rumah jiran, pemasangan cucul yang menambah kemeriahan pada waktu malam diserikan pula dengan pelbagai jenis kuih-muih menjadi hidangan semasa Hari Raya tapi kini kuih-muih itu dijadikan sebagai hidangan untuk minum petang dan majlis-majlis keramaian.

    Melihat kepada perubahan sambutan dari tahun ke tahun tersebut, temu bual media dengan orang ramai rata-rata menjelaskan, dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan kunjung-mengunjungi, apa yang penting adalah untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

    Sementara itu, Haji Mat Deris bin Duraman, 53, dari Kampung Lorong Dalam, mengongsikan pandangan mengenai kemeriahan Hari Raya yang kini semakin berkurangan mengikuti peredaran zaman.

    Katanya, “jika tahun dahulu, kemeriahan dapat dirasakan apabila ramai yang mengadakan rumah terbuka tapi konsep rumah terbuka itu kini lebih kepada ahli keluarga sahaja dan ini adalah bagi mengawal penularan COVID dalam musim perayaan ini”.

    Dayang Asmahwati semasa mengongsikan perasaan beliau mengenai sambutan Lebaran tahun-tahun lalu dan masa kini.
    Haji Hairul Azri menjelaskan keperluan sekolah anak-anak diutamakan semasa menyambut Hari Raya.
    Awang Bolhassan semasa mengongsikan pendapat beliau mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Manakala Dayang Asmahwati pula menjelaskan, sambutan Hari Raya tahun ini tidaklah sama seperti kemeriahan yang kita rasakan seperti tahun-tahun yang lalu di mana sambutan kali ini sangat berbeza kerana kita berada dalam norma kehidupan yang baharu dengan mengikuti garis panduan SOP yang ditetapkan.

    Beliau seterusnya menambah, walaupun tahun ini sambutan Hari Raya dibuat dalam kalangan keluarga terdekat dan mengikut jumlah tertentu sahaja tetapi ini adalah salah satu cara untuk kita sama-sama berganding bahu memainkan peranan selaku rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Darussalam dalam sama-sama mengawal penularan COVID yang masih melanda negara.

    “Ini adalah salah satu usaha dan sumbangan dalam membantu pihak kerajaan bagi sama-sama membanteras wabak COVID untuk kesejahteraan negara Brunei,” jelasnya.

    Sementara itu, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat pula memberikan pandangan beliau, dari tahun ke tahun sambutan Hari Raya memang diraikan dengan sederhana walaupun sekarang kita meraikan dalam norma baharu, iaitu membuat ujian pantas antigen (ART) dan mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum membuat aktiviti kunjung-mengunjungi.

    “Langkah dan usaha ini tidak menjejaskan kemeriahan Hari Raya tapi apa yang dirasakan sekarang adalah menyambut Hari Raya dengan penuh berhati-hati dalam memastikan keselamatan keluarga agar terhindar daripada musibah COVID,” jelasnya.

    Katanya lagi, “selama tiga tahun berturut-turut kita telah melalui cabaran ini di mana ia dapat dilihat melalui konsep rumah terbuka yang semakin berkurangan dan juga acara junjung ziarah yang sering dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat juga ditiadakan”.

    Sementara itu, dalam kesibukan menyambut Hari Raya, sesi persekolahan yang akan bermula pada pertengahan Mei ini, ramai ibu bapa lebih mengutamakan keperluan sekolah anak-anak. Untuk memberi keceriaan dan kegembiraan kepada anak-anak, beliau dan isterinya telah memilih untuk membeli keperluan yang bukan sahaja boleh digunakan semasa Hari Raya tetapi juga boleh digunakan untuk keperluan persekolahan seperti kasut dan songkok.

    “Ini adalah bagi mengelakkan pembaziran yang mana kita disarankan merayakan Hari Raya secara sederhana dan jangan terlalu mengikut hawa nafsu yang boleh menyusahkan diri sendiri sehingga berlaku pembaziran.

    Manakala, Awang Bolhassan bin Haji Abu Bakar pula menjelaskan, kemeriahan sambutan Hari Raya tetap terasa apabila dapat berkumpul dengan sanak-saudara pada pagi Syawal, walaupun dalam jumlah keramaian yang terhad.

    “Mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengawal penularan COVID yang masih lagi menular di negara ini,” jelasnya.

    Meraikan Aidilfitri tidak dinafikan bahawa sambutan tersebut memang dinantikan semua orang terutama sekali kerinduan untuk berkumpul dengan kaum keluarga namun sejak pandemik COVID melanda di negara ini, semua berubah dari kebiasaannya.

    Sementara itu, Wan Sulaiman pula menjelaskan, walaupun sambutan Aidilfitri diraikan dalam suasana yang sedikit berbeza, kita perlu sentiasa peka dan ingat bahawa COVID belum lagi berjaya dibanteras sepenuhnya.

    Beliau turut mengingatkan yang meraikan lebaran ini perlu ada batasnya dengan beberapa garis panduan yang dihebahkan kepada semua rakyat dan penduduk di negara ini termasuk membuat ujian ART sebelum berkunjung beraya ke rumah keluarga.

    “Meskipun keterbatasan kapasiti dalam sambutan, namun kemeriahan tetap dirasakan bersama ahli keluarga terutama kepada sebahagian ahli yang sekian lama tidak bersua muka,” tambahnya.

    Katanya lagi, “kita di negara Brunei juga wajar bersyukur dan menghargai peluang yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita kerana atas izinNya juga, kita dapat memeriahkan Aidilfitri setiap tahun meskipun suasananya berbeza beberapa tahun kebelakangan ini”.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...