Suasana semakin meriah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN – Pelbagai kemudahan yang disediakan di sekitar kawasan berhadapan jalan Bangunan Pusat Kesenian di Bandar Seri Begawan berjaya menarik minat bilangan peminat riadah pancing di kawasan berkenaan.

Antara kemudahan di sana seperti terdapatnya penjaja yang menawarkan pelbagai jenis makanan serta perkhidmatan bagi kegunaan pengunjung di sana.

Semasa wartawan Media Permata mengunjungi lokasi berkenaan, sebahagian daripada penjaja kelihatan menjual pelbagai makanan dan minuman di khemah jualan sementara yang dipasang di sekitar kawasan letak kereta, sekali gus menambah kemeriahan suasana di ibu negara di malam hari.

Sementara pada masa yang sama juga kelihatan kanak-kanak yang diiringi ibu bapa dan keluarga mereka kelihatan riang ketika menaiki basikal empat roda atau ‘beca’ di kawasan itu, yang mana basikal-basikal dan beca berkenaan disewakan oleh peniaga tempatan di kawasan berkenaan.

Suparman yang ditemui pihak Media Permata ketika beliau sedang meman-cing di kawasan berkenaan menjelaskan bahawa dengan adanya perkhidmatan yang terdapat di sana, mereka tidak lagi berasa kesunyian meskipun ketika memancing bersendirian.

Basikal empat roda menjadikan tempat tersebut semakin meriah.
Antara penjaja yang berniaga di kawasan bandar berhampiran tempat memancing.

Bermacam jenis ikan boleh didapati di kawasan perairan itu seperti Ikan Sembilang, Ikan Putih, Ikan Kitang, Ikan Rumahan, Ikan Kembura dan bermacam-macam lagi, jelas Suparman. Lazimnya beliau akan menggunakan umpan udang hidup yang diperoleh daripada peniaga udang hidup tempatan di kawasan berhampiran.

Sebelum renovasi di kawasan berkenaan dilakukan, para pemancing di kawasan tersebut selalunya akan merambat menggunakan jala yang berukuran sederhana untuk mendapatkan umpan berupa udang hidup.

Walau bagaimanapun sekarang mereka tidak lagi dapat berbuat demikian disebabkan jarak dan kedudukan yang begitu jauh di antara tempat memancing dan perairan sungai.

Selain memancing, pengunjung yang datang bersama keluarga turut memeriahkan lagi kawasan tersebut melalui pelbagai kegiatan riadah, menjadikan ia salah satu tempat disukai ramai.

Suparman turut berkesempatan menitipkan nasihat kepada pengunjung di sana agar sentiasa memelihara keindahan kawasan dan alam sekitarnya, memastikan segala sampah sarap dibuang di tempat yang disediakan dan tidak mencemarkan kawasan tersebut dengan kegiatan yang tidak bermoral seperti memugut dan sebagainya.