KOTA KINABALU, 3 OKT – Persatuan pengguna di Sabah melihat keputusan kerajaan Persekutuan memberi subsidi RM950 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) kepada Sabah dan Sarawak, mulai 5 Oktober ini, sebagai langkah tepat dalam mengatasi isu harga dan bekalan di negeri itu.
Mengalu-alukan inisiatif berkenaan, Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan berkata ia juga menjadi berita baik untuk pengguna dalam kalangan B40 dan pengusaha makanan di Sabah sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup dihadapi ketika ini.
“Beras adalah barang asas untuk setiap isi rumah. Kenaikan harga beras juga akan mempengaruhi kos sara hidup keseluruhan. Bagaimanapun, orang ramai digesa supaya tidak membuat spekulasi kekurangan beras bagi mengelakkan kekecohan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah pemberian subsidi itu akan membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram dan tindakan tersebut diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di Sabah dan Sarawak adalah terhad.
Ia merupakan antara empat langkah intervensi tambahan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani isu bekalan beras dalam negara, selain mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke luar bandar termasuk di kedai runcit. – Bernama