Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sejak penularan jangkitan kes varian Omicron tempatan diumumkan, asal usul varian yang dikesan di negara ini adalah Subvarian Omicron BA.2 manakala varian kes import pula adalah Subvarian Omicron BA.1.
Walaupun terdapat beberapa kenyataan dari luar negara menyatakan bahawa Subvarian Omicron BA.2 lebih mudah merebak dan berjangkit berbanding Subvarian Omicron BA.1, namun bagi mereka yang sudah mendapatkan vaksin atau dos penggalak, gejala yang ditunjukkan adalah ringan.
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menerangkan bahawa jika dibandingkan dengan negara lain semasa mula-mula menghadapi penularan Omicron, hasil kajian yang didapati adalah sama seperti yang berlaku di negara ini iaitu lebih 90 peratus yang dijangkiti hanya menunjukkan gejala ringan. Bagi kes yang dilaporkan di negara ini, kira-kira 99 peratus gejala jangkitan Omicron adalah gejala ringan.
Yang Berhormat Dato turut menekankan bahawa orang yang sudah mengambil vaksinasi itu tidak semestinya kebal daripada jangkitan dan mereka masih perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan sebagainya.