Tuesday, August 16, 2022
23.6 C
Brunei

Subvarian BA.5 punca kes melonjak

-

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Hasil terkini ujian gene sequencing bagi kes-kes COVID telah mengesahkan terdapatnya Omicron subvarian BA.5 di negara ini, sebagai tambahan kepada Omicron subvarian BA.4 yang telah diumumkan pada sidang media minggu lalu.

Oleh yang demikian, peningkatan kes-kes yang dilihat dalam beberapa minggu kebelakangan adalah besar kemungkinan disebabkan oleh Omicron subvarian BA.4 dan BA.5, di mana jumlah kes yang dikesan adalah pada kadar purata kira-kira 920 kes setiap hari.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Normal Baharu COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 55,525 keputusan ujian ART dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa seminggu di mana 11.6 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.

Keadaan tersebut, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, adalah serupa dengan keadaan yang dilihat di beberapa buah negara lain di mana peningkatan itu juga dijangkakan tidak akan membebankan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.

“Walaupun jumlah kes didapati meningkat, namun jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 terus berada di tahap yang rendah,” katanya.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa dua kes berada dalam kategori 5 yakni memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) dan empat kes berada di dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan bahawa dua kes berada di dalam kategori 5 yakni memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) dan empat kes berada di dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sama seperti keadaan pada minggu lepas, Yang Berhormat Dato berkata, lebih 99 peratus daripada kes-kes yang dikesan dalam masa satu minggu kebelakangan telah dikategorikan di dalam kategori 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Menyentuh mengenai liputan vaksinasi COVID di negara ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa ia terus meningkat di mana sehingga 25 Jun lalu, 72.8 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin manakala 12.1 peratus juga telah mendapatkan dos keempat; sebanyak 73.6 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua vaksin; manakala hanya 49.4 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin.

“Pada hari ini, sebanyak 1,185 kes baharu telah dilaporkan iaitu 1,173 kes hasil ujian ART dan 12 kes adalah hasil dari 267 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sejak 22 Jun yang lalu, Kementerian Kesihatan tidak lagi mengongsikan jumlah kes baharu dan jumlah kes aktif harian COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa ia adalah kerana kadar imuniti yang tinggi dalam kalangan penduduk negara ini disebabkan oleh vaksinasi atau jangkitan semula jadi bermakna jumlah kes harian tidak lagi memberikan gambaran yang jelas terhadap kesan jangkitan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

“Gambaran alternatif yang lebih baik adalah melalui jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar vaksinasi bagi kumpulan-kumpulan tertentu,” tekannya.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan laporan semasa kepada jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar vaksinasi bagi kumpulan-kumpulan tertentu.

“Walau bagaimanapun, kementerian ini akan mengongsikan trend pengesanan kes mingguan COVID semasa sidang media mingguan ini,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sementara itu, Yang Berhormat Dato juga menasihatkan kepada orang ramai untuk memuat naik keputusan ujian ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth untuk membantu Kementerian Kesihatan memantau situasi jangkitan.

“Pada amnya, dianggarkan sekurang-kurangnya 300,000 ujian ART dibuat setiap minggu di Negara Brunei Darussalam namun jumlah keputusan ujian ART yang dimuat naik ke aplikasi BruHealth adalah jauh lebih rendah,” kata beliau.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato berharap semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT.

 

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -