Sudah berjumpa keluarga

Pengacara, Nabil Mahir, mengaku menjalin cinta dengan penyanyi, Ayda Jebat, dan hubungan mereka bukanlah rahsia kepada keluarga.

Mendakwa sudah menemui keluarga masing-masing, Nabil menjelaskan, dia dan Ayda sudah lama berkawan tetapi menjadi rapat sejak beberapa bulan lalu. Namun, tambahnya, baik dirinya mahupun Ayda, masing-masing belum ada perancangan untuk membawa perhubungan mereka ke fasa seterusnya.

“Memandangkan Ayda sudah membuka mulut (mengenai hubungan mereka), sudah tiba masanya untuk saya memberi noktah kepada teka-teki ini. Benar, kami menjalinkan hubungan cinta… Cuma kurang pasti tarikh cinta kami mula berputik. Disebabkan sudah dewasa, kami bercinta apabila masing-masing selesa,” katanya ditemui pada sidang media pelancaran lagu dan muzik video Ayda berjudul Better Than You, baru-baru ini.

Nabil berkata, hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing bagi mengelak timbul salah faham atau masalah pada masa hadapan. “Ahli keluarga kami sudah berjumpa. Ini bagi mengelak timbul sebarang masalah pada masa hadapan. Lebih mudah, sekiranya mereka selesa berjumpa dan bergaul. Baharu saja meletakkan ‘label’ pada hubungan, saya fikir masih terlalu awal untuk berkongsi lebih lanjut mengenai fasa seterusnya,” katanya sambil menambah mereka mahu mengenali hati budi masing-masing.

Ditanya bila mahu menamatkan zaman bujang, Nabil menjelaskan, dia sudah bersedia kerana usia sudah menjangkau 31 tahun. “Tipu jika saya katakan tidak pernah berbicara mengenai perkahwinan, cuma perbualan itu secara kasual. Belum ada sebarang perancangan kerana kami tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Hubungan ini masih baharu, jadi kami perlu mengenali satu sama lain lebih jauh lagi. Doakan baik-baik untuk hubungan ini,” katanya. – Agensi

Nabil menjelaskan, dia dan Ayda sudah lama berkawan tetapi menjadi rapat sejak beberapa bulan lalu. – Agensi