Sudah boleh tempah tiket penerbangan ke Beijing

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mengumumkan bermulanya jualan tiket bagi laluan baharu, Beijing dengan penerbangan pertama ke Beijing dijadualkan pada 27 Oktober depan.

RB merupakan salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang dipilih untuk beroperasi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing (PKX) dalam fasa pertama pembukaan lapangan terbang baharu yang berteknologi tinggi berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan RB, di sini, hari ini.

Kenyataan menjelaskan, penerbangan empat kali seminggu ke Beijing itu adalah sebahagian daripada usaha RB untuk mengembangkan jejaknya di China, pasaran sumber pelancongan nombor satu bagi Brunei.

Di samping kehadirannya di Shanghai dan Hong Kong, RB juga memperkenalkan penerbangan ke Haikou, Nanning, Hangzhou dan Changsa. RB juga merancang untuk menambah kekerapan penerbangannya ke Daxing Beijing kepada setiap hari bermula 14 Januari 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dipetik sebagai berkata, “Kami gembira untuk menyediakan sambungan ibu negara ke ibu negara penting dan memenuhi janji kami
untuk sekali lagi menghubungkan Brunei dan Beijing.”

Menurut beliau, sebagai syarikat penerbangan kebangsaan Brunei, pengenalan semula penerbangan Beijing menyokong pembangunan rangkaian mereka dan mengasaskan hubungan dua hala yang teguh antara kedua-dua buah negara.

“Beijing memberikan peluang besar bagi kita dalam salah satu pasaran paling pantas berkembang di dunia, yang membawa kepada rancangan kami untuk meningkat kepada penerbangan harian sekitar Tahun Baharu Cina 2020,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa mereka sedang meneroka pilihan-pilihan untuk mendapatkan sebuah syarikat penerbangan China bekerjasama dengan mereka menerusi perkongsian kod pada laluan ini.