Sudan digegar pertempuran baharu, 15 maut

KHARTOUM, 18 NOV – Pertempuran jalanan sekali lagi menggegarkan bandar Sudan hari ini sehari selepas pasukan keselamatan menembak mati 15 pembantah sejak tentera mengambil alih pada 25 Oktober.

Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan puluhan pembantah antirampasan kuasa yang bermalam di jalan-jalan utara Khartoum, menentang tindakan keras yang menarik kecaman antarabangsa, kata saksi.

Polis menyingkirkan sekatan sementara yang para pembantah dirikan pada hari sebelumnya.

Kemudian hari ini, puluhan pembantah kembali membinanya semula dan polis sekali lagi melepaskan gas pemedih mata dalam usaha untuk membersihkan jalan raya, kata saksi.

“Para pembantah bertindak balas dengan melontar batu ke arah polis,” kata seorang saksi.

Ribuan membantah di jalanan sejak kelmarin di Khartoum dan bandar lain namun berdepan tindakan keras sejak rampasan kuasa.

Kira-kira 15 orang terbunuh, kebanyakannya di utara Khartoum, kata paramedik, meningkatkan jumlah kematian kepada 39 orang sejak rampasan kuasa itu.

Polis berkata mereka merekodkan hanya satu kematian dalam kalangan para pembantah di utara Khartoum. Sementara 30 lagi mengalami kesukaran bernafas akibat terhidu gas pemedih mata. – AFP