Sudan lancar satelit pertama

KHARTOUM, 6 NOV – Satelit pertama Sudan untuk membuat penyelidikan dalam ketenteraan, ekonomi dan teknologi ruang angkasa dilancarkan oleh China, kata badan pemerintah negara Afrika timur laut semalam.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, yang mengetuai majlis berdaulat Sudan, mengumumkan pelancaran satelit itu dalam pertemuan bersama pegawai keselamatan yang diadakan di Khartoum. Agensi berita China Xinhua melaporkan satelit itu dilancarkan pada Ahad lalu dari Wilayah Shanxi di utara China.

“Satelit ini bertujuan untuk membangunkan penyelidikan dalam teknologi ruang angkasa, memperoleh data serta mencari sumber semula jadi bagi keperluan ketenteraan negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan majlis itu.

Jurucakap badan pemerintah, Mohamed al-Fakhi Sulaiman berkata: “Satelit itu akan dipantau dari Sudan dalam beberapa bulan ini.

“China melancarkan satelit itu kerana ia adalah rakan kongsi dalam projek ini.”

Sudan, yang bergelut dengan krisis ekonomi, telah terbabit dalam program angkasa nasional selama beberapa dekad meliputi pelbagai aktiviti seperti geoinformatik.

Pada 2013, bekas pemimpin Sudan Omar al-Bashir menubuhkan Institut Penyelidikan Angkasa dan Aeroangkasa (ISRA) sebagai sebahagian daripada rancangan keseluruhan untuk membangunkan teknologi ruang angkasa. – AFP