Sudan Selatan bakal disekat

NEW YORK, 11 Julai – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dijangka akan mengenakan sekatan bersenjata ke atas Sudan Selatan minggu ini, satu cadangan Amerika Syarikat (AS) yang menyusuli perjanjian perkongsian kuasa antara pemimpin yang berperang itu.

AS adalah penyedia bantuan terbesar Sudan Selatan dan penyokong utama kemerdekaannya dari Sudan pada 2011.

Namun kesabaran sekutu asing Sudan Selatan itu telah lenyap selepas gagal membawa keamanan ke negara Afrika itu, yang telah berperang selama lima tahun dengan menyasarkan pembunuhan etnik, rogol secara berkumpulan dan kekejaman lain yang turut berlaku.

Draf resolusi awal yang dilihat AFP semalam, menggariskan ‘kebimbangan’ Majlis Keselamatan ‘ketika menghadapi kegagalan pemimpin Sudan Selatan untuk mengakhiri keganasan dan pencabulan yang dilakukan secara terang-terangan.”

Draf teks AS itu akan mengenakan sekatan senjata ke atas Sudan Selatan sehingga 31 Mei tahun depan.

Ia membenarkan negara-negara anggota PBB untuk memusnahkan atau meneutralkan mana-mana kargo senjata yang diharamkan di bawah sekatan berkenaan.

Dokumen itu juga akan memperbaharui sekatan selama setahun yang dikenakan ke atas Sudan Selatan.

Majlis Keselamatan di beberapa buah negara termasuk Rusia, China dan Habsyah, menunjukkan mereka tidak berminat untuk menguatkan sekatan agar tidak menjejaskan perantaraan yang dipimpin oleh pertubuhan serantau Afrika Timur IGAD yang membawa pemeteraian perjanjian pada Sabtu lalu.

Di bawah perjanjian itu, pemimpin pemberontak Rick Machar akan kembali semula ke jawatannya sebagai naib presiden, sementara menunggu rundingan yang seterusnya. – AFP