Sudan Selatan diberi 100 hari tubuh kerajaan gabungan

ENTEBBE, UGANDA, 8 NOV – Presiden Sudan Selatan Salva Kiir dan ketua pemberontak Riek Machar semalam diberikan 100 hari untuk menubuhkan kerajaan perkongsian kuasa selepas gagal menyelesaikan perselisihan, penangguhan terbaharu yang mendorong amaran daripada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu memerlukan pemimpin baharu.

Kedua-dua pesaing, dengan perbalahan mereka pada 2013 mencetuskan konflik yang meninggalkan ratusan ribu orang terbunuh, diberikan pelanjutan selepas mesyuarat diadakan dengan tokoh berpengaruh serantau di Uganda. Ia adalah kali kedua tarikh akhir telah ditangguhkan sejak pesaing menandatangani gencatan senjata pada September lalu yang menghentikan pertempuran.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berganding bahu dalam kerajaan gabungan pada 12 November. Namun dengan tarikh semakin dekat dan isu utama belum selesai, pemimpin serantau membroker rundingan di Entebbe untuk mencarta haluan baharu.

“Adalah mustahil untuk mereka mencapai perjanjian dalam lima hari. Kami telah memberikan mereka tiga bulan dan kami akan meneruskan rundingan,” beritahu Menteri Luar Uganda Sam Kutesa kepada AFP ekoran perbincangan pintu tertutup di Rumah Kerajaan di Entebbe.

Mesyuarat ‘bersetuju untuk melanjutkan tempoh pra-peralihan dan mengkaji semula perkembangan selepas lima puluh hari mulai tarikh berkenaan,” kata Kutesa, dibaca dari kenyataan rasmi.

Amerika Syarikat, penyokong utama negara, menyuarakan kekecewaan dengan penangguhan dan berkata ia akan ‘mengkaji semula hubungan kami’ dengan kerajaan Sudan Selatan. – AFP

Presiden Majlis Peralihan Sudan Abdel Fattah al-Burhan (tengah) berdiri ketika beliau meninggalkan bangunan selepas rundingan mengenai kerajaan Sudan Selatan di Rumah Kerajaan di Entebbe pada 7 November. – AFP