Sudan setuju fasa peralihan kuasa

KHARTOUM, 15 Mei – Majlis Tentera Peralihan (TMC) Sudan mengumumkan hari ini bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan anggota pembangkang utama mengenai pentadbiran dan tempoh peralihan kuasa selama tiga tahun.

“Kami telah bersetuju mengenai kuasa kedaulatan majlis, majlis menteri-menteri dan majlis perundangan,” kata Leftenan Jeneral Yasser al-Atta, seorang anggota TMC, pada satu persidangan akhbar di Khartoum awal hari ini.

Kedua-dua pihak juga telah bersetuju bahawa ‘tempoh peralihan adalah tiga tahun,” kata anggota TMC. “Tempoh enam bulan pertama akan diperuntukkan kepada usaha mencapai keamanan di seluruh Sudan.”

Satu perjanjian komprehensif yang memenuhi aspirasi rakyat akan dicapai dalam masa kurang 24 jam, kata beliau.

Menurut al-Atta, majlis perundangan terdiri daripada 300 anggota, 67 peratus di antara-nya adalah daripada Perikatan Kebebasan dan Perubahan dan yang selebihnya adalah daripada wakil politik lain.

Tentera Sudan melancarkan satu rampasan kuasa pada 11 April, ekoran bantahan anti-kerajaan selama empat bulan. Presiden Omar al-Bashir yang telah memerintah selama hampir 30 tahun telah digulingkan dan dipenjarakan.

Pembangkang Perikatan Kebebasan dan Perubahan Sudan telah mengadakan rundingan dengan TMC, dipengerusi oleh Abdel-Fattah al-Burhan dan ditugaskan mengendali hal-ehwal Sudan selepas penggulingan al-Bashir, membincang tentang prosedur yang membabitkan penubuhan mekanisme pemerintahan ketika tempoh peralihan sejak April. Beribu-ribu pembantah pimpinan anggota pembangkang telah berkumpul di luar ibu pejabat tentera sejak penggulingan al-Bashir untuk menuntut pemerintahan awam daripada kerajaan.

Pada awal minggu ini, pusingan rundingan terbaharu di antara kedua-dua pihak diteruskan di tengah pertempuran di antara kumpulan yang tidak dikenal pasti dan pembantah, yang membunuh beberapa orang dan mencederakan berpuluh yang lain. – Xinhua

Pembantah Sudan merai selepas satu perjanjian dicapai dengan majlis tentera untuk menubuhkan tempoh peralihan tiga tahun untuk memindahkan kuasa kepada pentadbiran awam, di Khartoum, kelmarin. Gerakan bantahan menuntut peralihan pimpinan orang awam ekoran pemerintahan kuku besi selama 30 tahun oleh presiden yang disingkirkan Omar al-Bashir. – AFP