Sudan tangguh rundingan

KHARTOUM, 16 Mei – Pembantah Sudan menyuarakan rasa kesal mereka hari ini terhadap keputusan tentera untuk menggantung rundingan penting mengenai penubuhan pemerintahan awam namun berikrar akan meneruskan dengan mogok meskipun disasarkan dalam keganasan baharu. Jeneral tentera dan pemimpin bantahan telah dijangka mencapai persetujuan semalam berhubung komposisi sebuah badan baharu untuk memerintah Sudan selama tiga tahun.

Isu tersebut adalah yang paling sensitif yang dikemukakan dalam rundingan berterusan untuk mengembalikan semula pemerintahan awam selepas jeneral mengambil alih ekoran penyingkiran presiden autokratik Omar al-Bashir pada bulan lalu.

Namun pada awal hari ini, ketua majlis tentera pemerintah Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, mengumumkan rundingan telah digantung selama 72 jam memandangkan keselamatan di ibu negara telah menjadi lebih teruk.

Beliau menuntut dalam tempoh tersebut, pembantah mesti merobohkan sekatan jalan raya di Khartoum, membuka jambatan dan landasan kereta api yang menghubungkan ibu negara dan “berhenti memprovokasi anggota keselamatan.”

Perikatan Kebebasan dan Perubahan, kumpulan yang memimpin gerakan bantahan dan berunding pemindahan kuasa dengan pemerintah tentera, berkata tindakan tersebut “amat dikesali.”

“Ia tidak menghirau perkembangan yang dicatat dalam rundingan setakat ini, dan mesyuarat semalam adalah untuk memuktamadkan perjanjian, yang sepatutnya dapat menghentikan sekatan seperti sekatan jalan raya.

“Rundingan bermula pada Isnin dan mencatat kejayaan besar, namun juga dibelenggu keganasan baharu yang meninggalkan lima pembantah dan seorang mejar terbunuh dan ramai lagi yang cedera akibat luka tembakan.

Gerakan pembantah berkata jeneral mahu penunjuk perasaan membataskan diri mereka kepada kawasan mogok di mana beribu-ribu orang telah berkhemah selama beberapa minggu di tengah Khartoum, menuntut pemerintahan awam.- AFP

Pembantah Sudan berkumpul ketika satu mogok di luar ibu pejabat tentera selepas bertempur dengan anggota keselamatan di Khartoum pada 15 Mei 2019. Pemimpin tentera Sudan menggantung rundingan penting mengenai penubuhan pemerintahan awam dengan pembantah, menegaskan lebih banyak masa diperlukan untuk memuktamadkan perjanjian tatkala situasi keselamatan di Khartoum bertambah teruk. – AFP