KHARTOUM, 6 FEB – Kabinet Sudan berkata hari ini pemimpin negara Jeneral Abdel Fattah al-Burhan tidak membuat sebarang janji dengan perdana menteri Israel untuk ‘memulihkan hubungan’ di antara kedua-dua negara.
Burhan, yang memimpin majlis pemerintah Sudan, bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk rundingan yang tidak diumumkan sebelumnya di Entebbe pada Isnin yang nampaknya mengisyaratkan berakhirnya pemulauan lama Sudan ke atas negara Yahudi itu.
Sejurus pertemuan mereka, Netanyahu mengumumkan kedua-dua pemimpin telah bersetuju untuk bekerjasama memulihkan hubungan.
Kabinet sementara Sudan berkata hari ini pertemuan dengan Netanyahu merupakan ‘inisiatif peribadi’ Burhan dan beliau tidak menawarkan sebarang janji kepada perdana menteri Israel.
“Ketua majlis pemerintah memberitahu kami beliau tidak memberikan sebarang komitmen dan tidak bercakap mengenai pemulihan hubungan,” beritahu jurucakap kerajaan Faisal Mohamed Salih kepada wartawan pada awal hari ini.
“Beliau tidak berjanji akan memulihkan atau menjalin hubungan diplomatik.”
Salih berkata isu hubungan dengan Israel merupakan sesuatu yang tidak diwajib diputuskan oleh kerajaan sementara sekarang.
“Kerajaan ini mempunyai mandat amat terhad. Isu hubungan dengan Israel berada di luar mandatnya,” kata beliau. – AFP




























