Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Sudut Bacaan PASMA dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini, telah merasmikan sudut bacaan di Pusat Akademi Sukan Memanah Ar-Rafi (PASMA), Kampung Jangsak.

    Sudut bacaan berkenaan dibekalkan dengan kira-kira 100 hingga 200 buah buku dalam Bahasa Melayu dan Inggeris bagi bacaan semua peringkat umur.

    Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Semasa berucap, Pengiran Haji Mohd Hasnan berkata, mewujudkan sudut bacaan berkenaan setentunya memberikan lautan kemanfaatan kepada semua. Menurutnya, usaha itu merupakan hasil inisiatif pendekatan yang menggabungkan kerjasama PASMA bersama DBP dalam sama-sama meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

    Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa amalan membaca merupakan amalan mulia yang bukan sahaja menjadi tuntutan agama, malah ia adalah senada dan seirama dengan hasrat negara ke arah mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan sejajar dengan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Dengan adanya sudut bacaan itu, pendekatan berkenaan secara langsung menjadi satu tindakan yang cukup baik ke arah usaha menggalakkan budaya membaca serta menanamkan kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan masyarakat, ujar beliau lagi.

    Sudut bacaan berkenaan merupakan salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan DBP dalam menyediakan koleksi bahan bacaan bersesuaian, sekali gus dapat melahirkan warga PASMA yang bermaklumat, berkemahiran dan berpengetahuan.

    Sudut bacaan itu menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang bersesuaian dan diperlukan oleh PASMA, seperti ilmu kemahiran hidup, sukan memanah, sukan renang, selain buku-buku cerita bersesuaian.

    Buku-buku berkenaan akan ditukar setiap tiga hingga enam bulan sekali, mengikut keperluan dan kehendak pihak PASMA. Majlis juga diselajurkan dengan tayangan video dari FASviA dan demonstrasi bagi sukan memanah seterusnya lawatan.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan semasa merasmikan sudut bacaan pada majlis yang diadakan di Pusat Akademi Sukan Memanah Ar-Rafi (PASMA), Kampung Jangsak, kelmarin.
    Pengiran Haji Mohd Hasnan mendengar penerangan semasa majlis perasmian sudut bacaan kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...