‘Sudut harapan’ bantu pembelajaran kanak-kanak Mexico

BANDARAYA MEXICO – Sebuah kedai tortilla telah mula memberikan akses WiFi dan televisyen secara percuma kepada kanak-kanak di kejiranan Bandar Mexico, yang mana mereka ini tidak memiliki kemudahan tersebut di rumah masing-masing, atau mempunyai adik-beradik lain yang menggunakannya untuk sesi pembelajaran semasa pandemik.

Sekolah-sekolah kerajaan Mexico telah memulakan kelas-kelas secara pembelajaran melalui televisyen pada 24 Ogos lalu disebabkan koronavirus, ini kerana 94 peratus daripada rumah-rumah di Mexico mempunyai televisyen. Namun begitu kebanyakan isi rumah Mexico mempunyai ramai kanak-kanak dan mereka semua perlu mencari sesuatu dalam internet atau menonton kelas pada masa yang sama.

Di sinilah ‘Rinconcito de Esperanza’ atau ‘Sudut Harapan’ memainkan peranannya. Pemilik-pemilik Grandma’s Tortilla Shop di daerah kecil selatan Tlalpan telah mendirikan kawasan-kawasan pembelajaran untuk mena-warkan khidmat pengajaran, televisyen dan akses komputer secara percuma.

Kawasan itu berada di kaki lima di hadapan kedai tersebut yang dibangun menggunakan khemah, dan sebuah trak pikap lama yang dijadikan katil yang diletakkan di sana. Sebuah usaha komuniti yang sebenar, kelas-kelas yang memerlukan lebih banyak ruang atau tidak bising akan diadakan di kedai-kedai yang berjiranan dengannya.

Dalia Davila bersama pasangannya, Fernando Lozano, telah memulakan projek informal tidak berasaskan keuntungan itu di kedai tortilla mereka setelah dia mendengar keluhan daripada jiran-jiran dan rakan-rakannya yang bimbang dengan bagaimana anak-anak mereka dapat mengikuti kelas pembelajaran.

Sukarelawan membantu Bryan Quintana melakukan kerja sekolahnya di Grandma’s Tortilla Shop. – AP
Dalia Davila Neri membantu pelajar Aide Joselin Hernandez Moreno yang belajar di atas meja yang didermakan di luar kedai mili Davila di pinggir selatan Bandaraya Mexico. – AP
Fatima Rodriguez (kiri) mengajar sejarah kepada adik-beradik Bryan (kanan) dan Emanuel Quintana. – AP
Fatima Rodriguez (kiri) menggunakan boneka untuk memberi gambaran semasa mengajar mengenai sejarah penjajahan Sepanyol dan kemerdekaan Mexico, yang diraikan pada bulan September, kepada adik-beradik Bryan (kanan) dan Emanuel Quintana, di luar Grandma’s Tortilla Shop. – AP

Pada awalnya mereka menggunakan sebuah televisyen dan WiFi kedai tersebut, namun apabila televisyen itu rosak semasa ribut petir, jiran-jiran mereka datang membantu dengan memberikan set televisyen baharu dan beberapa barangan yang lain.

“Kami melihat betapa bimbangnya mereka (para ibu), yang berfikir, ‘sama ada saya bekerja, atau saya mengajar anak-anak saya, dan jika saya menolong anak saya dengan kelas-kelas mereka, bagaimana kami hendak makan?’” kata Davila, yang terus sahaja membakar dan menjual tortilla sementara menyelia projek itu. “Jadi kami jiran-jiran mula merancang untuk membantu.”

Di sana terdapat sebuah kotak yang mengandungi buku-buku teks, sebuah telefon pintar, sebuah tablet dan sebuah komputer riba, semuanya didermakan. “Orang ramai telah membawa pensel-pensel, buku-buku nota yang didermakan dan malah mendermakan bijirin untuk pakej-pakej makanan,” ujar Lozano.

Kawasan itu menerima kehadiran kira-kira 50 orang kanak-kanak dalam sehari, dan kelas-kelas diadakan secara berperingkat untuk menggelakkan kesesakan kanak-kanak yang datang daripada keluarga-keluarga yang berlainan. Pengajar-pengajar sukare-la datang untuk mengajar kelas-kelas Bahasa Inggeris, matematik dan sains.

“Kami melihat wujudnya ketidaksak-samaan pada masa ini, disebabkan oleh pandemik. Ramai ibu bapa tidak mempunyai wang untuk membeli telefon, televisyen atau komputer,” kata Lorenzo.

“Hakikatnya adalah jika anda terlepas setahun anda tidak akan dapat menebusnya. Dan hakikatnya kita tidak bercakap mengenai seorang atau dua orang kanak-kanak, kita bercakap mengenai jutaan kanak-kanak di serata du-nia, dan ia akan membawa kepada kesan yang teruk.”

Pihak kerajaan telah mengagihkan kira-kira 140 juta buku teks secara percuma, dan rumah-rumah yang tidak mempunyai televisyen boleh mengikuti kelas-kelas melalui radio. Para pelajar tidak akan kembali ke bilik-bilik darjah sehingga kerajaan mempertimbangkan risiko pandemik selamat dalam zon hijau.

Hanya 44 peratus daripada isi rumah di Mexico mempunyai komputer. Manakala peratus yang tinggi sedikit, 56 peratus, mempunyai akses internet, meskipun kebanyakan daripada sambungan itu digunakan hanya untuk telefon pintar. Menurut kaji selidik, 95 peratus daripada penduduk di Mexico berkata mereka menggunakan internet untuk telefon, 33 peratus dengan komputer riba dan 29 peratus lagi untuk komputer meja. Kebanyakan isi rumah juga mempunyai lebih daripada seorang anak, yang selalunya mengambil kelas-kelas secara serentak dan memberikan beban ke atas akses televisyen dan komputer.

Maria Luisa Moreno Barajas, seorang ibu empat orang anak dan suami yang tidak bekerja, membawa anak bongsunya Jose Mario untuk belajar di salah satu bahagian tempat yang dibangunkan untuk sesi pembelajaran yang memasuki kawasan kedai besi yang berjiranan.

Jose Mario sama sekali tidak terganggu dengan persekitaran yang tidak seperti kebiasaannya itu. “Saya rasa seperti saya berada di sekolah,” katanya.

“Projek ini telah banyak membantu kami,” kata ibunya pula. “Kami sebenar-nya mempunyai internet yang ayah pinjamkan kepada kami, namun kerana kami ramai, kami semua menggunakan internet pada masa yang sama.

“Jadi ada masanya kami tidak dapat melakukan semua kajian yang kami perlu lakukan,” katanya.

“Oleh itulah saya datang ke Sudut Harapan. Jika kami perlu membuat kerja rumah melalui internet atau mencetak sesuatu, ada seseorang yang boleh membantu kami.”

“Salah satu daripada dasar pendidikan yang kita perlu jangkakan adalah untuk kerajaan membantu keluarga-keluarga ini yang tidak mempunyai akses kepada teknologi,” katanya.

“Tetapi kini, ketika kita berada dalam krisis dan kerajaan tidak memberikan kepada kita apa yang kita perlu, komunitilah yang datang sebagai penyelamat.” – AP