Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sudut Penerbitan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Perpustakaan Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diharap dapat mengekalkan dan memelihara penerbitan-penerbitan keluaran Kementerian Pertahanan dan ABDB sebagai khazanah dan sumber rujukan bersama.
Harapan itu disuarakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat ketika berucap pada Perasmian Sudut Penerbitan ABDB yang berlangsung di Perpustakaan Akademi Pertahanan ABDB, hari ini.
Beliau menambah, “Selain daripada itu, pelancaran sudut penerbitan ini juga merupakan satu tanda penghargaan dan sokongan padu kepada anggota-anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB yang telah menyumbangkan jasa bakti dalam menghasilkan penerbitan-penerbitan yang akan menjadi ristaan generasi seterusnya.”
Majlis diteruskan dengan pelancaran Sudut Penerbitan ABDB yang disempurnakan oleh Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah dan kemudian diberikan penerangan mengenai Panduan Dasar Gangguan di Tempat Kerja, buku Panduan (Latihan) Kepimpinan ABDB serta juga buku-buku yang diketengahkan di sudut berkenaan.
Sudut Penerbitan ABDB di Perpustakaan Akademi Pertahanan ABDB memuatkan kira-kira 100 penerbitan terbaik ABDB. Ia adalah untuk menyokong visi pemerintah ABDB bagi memupuk budaya membaca dalam Kementerian Pertahanan dan ABDB serta inisiatif bagi menjunjung kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membina negara pembaca.
Panduan Dasar Gangguan di Tempat Kerja dan Panduan (Latihan) Kepimpinan ABDB yang dilancarkan baru-baru ini serta diketengahkan sebagai tambahan terbaharu di sudut penerbitan itu. Sudut itu juga diharap akan memberi inspirasi kepada unit lain untuk mewujudkan sudut bacaan yang sama, yang juga akan menyokong pembangunan profesional dalam Kementerian Pertahanan dan ABDB.