Sufian belum hilang taring

Siapa boleh lupa kehebatan lagu Di Matamu yang mencetuskan fenomena, suatu masa dahulu. Lagu berentak balada itu pantas mendaki carta popular, sekali gus menobatkan penyanyi dan komposernya, Sufian Suhaimi sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-33, tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas lagu Di Matamu, Sufian seperti kehilangan magis merakamkan lagu bergenre balada apabila kebanyakan lagunya lebih berentak rancak. Persoalannya apakah jejaka kelahiran Mersing, Johor itu sudah tiada jiwa mahu menyanyikan lagu sedemikian?

Sufian mendedahkan, dia mempunyai satu karya bergenre balada yang mampu menyentuh hati pendengar seperti yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Saya merakamkan lagu balada menyamai lagu Di Matamu dan Terakhir. Lagu ini sudah diperdengarkan kepada keluarga dan rakan rapat. Berdasarkan maklum balas yang diterima, mereka menyukai karya ini.

“Buat masa ini, saya mahu menyimpan dahulu kerana keadaan sekarang tidak mengizinkan untuk saya melancarkannya,” katanya kepada BH Online.

Sufian mendedahkan, dia mempunyai satu karya bergenre balada yang mampu menyentuh hati pendengar seperti yang pernah dihasilkannya sebelum ini. – Agensi

Mengulasnya, penyanyi berusia 28 tahun itu berkata, situasi industri muzik yang belum pulih sepenuhnya berikutan wabak COVID-19 membuatkannya perlu mengambil langkah berhati-hati.

“Bukanlah bermaksud saya tak mahu memperjudikan nasib lagu ini, tetapi saya mahukannya dipromosikan secara meluas. Tidak dinafikan, media sosial memainkan peranan, tetapi tidak mencukupi.

“Saya lebih suka jika ada sesi promosi yang memberi peluang untuk saya menyanyikan lagu di hadapan peminat. Namun, agak sukar dilaksanakan pada keadaan sekarang yang memerlukan penjarakan sosial,” katanya.

Sufian berkata, kerjayanya bergerak perlahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Sepatutnya 2020 menjadi tahun paling sibuk kerana pelbagai perancangan sudah diatur. Namun, manusia hanya mampu merancang, Tuhan menentukannya. Saya banyak masa terluang, selain mengemas dan memasak, saya buat benda yang disukai seperti mencipta lagu.

“Ada lagu dihasilkan untuk diri sendiri dan juga penyanyi lain. Selain itu, saya ada menghasilkan projek kolaborasi bersama Yonnyboii dan Caprice. Single baharu Arif Bahran berjudul Usah adalah lagu yang saya hasilkan ketika PKP.

“Mengenai kolaborasi bersama Yonnyboii, kami sudah berkawan lama, berkongsi ilmu muzik dan saling membantu antara satu sama lain. Dari situ, tercetus idea untuk bekerjasama. Setakat ini, lagu sudah 80 peratus siap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sufian antara tiga penyanyi yang mendapat Anugerah 2020 Mid Year JOOX Top Music Awards menerusi lagu Janji, tahun ini. – Agensi