Sufian dibuai lamunan cinta

Merakamkan lagu menjadi perkara biasa buat penyanyi, Sufian Suhaimi. Bagaimanapun, dibuai lamunan cinta terlebih dahulu, sebelum memasuki studio rakaman tidak pernah dilakukannya.

Inilah yang berlaku ketika merakamkan single terbaharu berjudul Inikah Dikatakan Cinta.

Lagu Inikah Dikatakan Cinta ciptaan komposer, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh. Liriknya pula hasil nukilan produser, Datuk A Aida. Single berkenaan dijadikan lagu tema drama Di Hujung Ranting terbitan A Aida Production yang bakal disiarkan di saluran RTM pada Ramadan ini.

Sufian berkata, dia teruja sepanjang proses rakaman lagu Inikah Dikatakan Cinta, baru-baru ini.

“Lagu ini memerlukan saya jatuh cinta terlebih dahulu, sebelum rakaman dilakukan. Saya nikmati melodi dan lirik.

Sufian berkata, dia teruja sepanjang proses rakaman single terbaharu ini. – Agensi

“Saya sengaja membiarkan perasaan terbuai dan asyik dalam lamunan cinta. Saya ‘enjoy’, walaupun hakikatnya, tiada cinta dalam hati buat masa sekarang.

“Seperti biasa, ada bahagian yang komposer perlu diperbetulkan. Saya menyanyi seperti apa yang mereka inginkan,” katanya.

Penyanyi lagu Terakhir dan Di Matamu itu berkata, dia juga memberikan beberapa pilihan nada yang sesuai.

“Alhamdulillah, rakaman berjalan lancar. Mereka juga suka dengan hasil rakaman.

“Ini juga pengalaman pertama saya merakamkan lagu untuk digunakan pada penghujung drama ini nanti,” katanya.

Sufian berkata, dia tidak menjangka akan muncul single baharu dalam masa terdekat. Ini berikutan lagu terbaharu, Janji baru sahaja dilancarkan, bulan lalu. – Agensi