Sufian Suhaimi beri tumpuan bidang perniagaan

Berdepan kebimbangan dan masalah yang sama seperti orang lain, penyanyi Sufian Suhaimi mengaku pendapatannya turut terjejas akibat penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Sufian, 28, berkata, tempoh tersebut digunakan sebaiknya dengan memberi tumpuan terhadap bidang perniagaannya yang diceburi.

“Rasanya bukan penggiat seni sahaja terkesan tapi satu dunia. Tak boleh nak promosi lagu dan membuat persembahan seperti biasa tapi bagi saya, waktu ini kita kena cuba juga biasakan.

“Kita kena cari jalan bagaimana untuk bertahan. Kita kena seimbang dan realistik. Sama ada nak buat sesuatu yang betul-betul minat atau macam mana kita nak bertahan dalam waktu yang mencabar ini.

“Alhamdulillah, saya rasa bertuah kerana telah lancarkan perniagaan pada awal tahun. Jadi, waktu macam ini saya boleh gunakan untuk fokus kepada perniagaan itu.

Sufian Suhaimi beri tumpuan terhadap bidang perniagaan untuk cari jalan supaya bertahan. – Agensi

“Saya dah tiga tahun dalam bidang muzik. Jadi, waktu dunia muzik tak berapa nak rancak, kita fokus perniagaan. Sekurang-kurangnya dapat imbangkan antara minat dan kelangsungan hidup,” kata Sufian kepada mStar.

Penyanyi lagu Di matamu itu berkongsi perkara itu ketika ditemui di rakaman sebuah program realiti di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Sufian melancarkan produk bantal zikir untuk anak damit pada awal Januari lalu.

Dalam pada itu, tiga bulan berkurung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membuatkan dia berasa tertekan.

Kata Sufian, bagi dirinya yang tidak suka bersosial dan lebih memilih menghabiskan masa di rumah menjadikan tempoh PKP yang dilalui sebagai satu kelebihan.

“Kebetulan saya memang suka duduk rumah. Kalau bukan PKP pun, saya tak suka tempat yang ramai orang. Tempat karaoke atau kedai mamak pun saya tak pergi.

“Masa PKP itu, saya rasa seperti satu dunia bersama saya. Semua orang duduk rumah tapi sudah tentu ada rasa bosan tapi saya dah bersedia lama untuk perkara ini. Siapkan rumah dengan aktiviti hiburan yang bermanfaat,” ujarnya. – Agensi