Sufian Suhaimi kecewa?

Bak kata pepatah Melayu, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Begitu juga perjalanan kerjaya penyanyi Sufian Suhaimi, tidak semua lagu yang didendangkan memberi impak sehebat single Terakhir dan Di Matamu.

Setahun tanpa single baharu, Sufian muncul single Cinta Tak Bertepi, sebulan lalu. Namun, sambutan terhadap karya ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu kurang diperkatakan, tidak seperti single lain.

Menafikan kecewa, sebaliknya Sufian berkata, situasi pandemik COVID-19 antara salah satu faktor single Cinta Tak Bertepi kurang mendapat perhatian.

“Antaranya, faktor pandemik atau mungkin proses pemilihan lagu agak singkat. Ini disebabkan saya sudah lebih setahun tidak menghasilkan single baharu, jadi ramai peminat bertanya.

“Disebabkan itu, syarikat rakaman, Aries Music tanpa berfikir panjang memutuskan mengeluarkan single Cinta Tak Bertepi.

Menafikan kecewa, sebaliknya Sufian berkata, situasi pandemik COVID-19 antara salah satu faktor single Cinta Tak Bertepi kurang mendapat perhatian. – Agensi

“Namun, promosi tidak dapat dijalankan secara agresif seperti single terdahulu ketika pandemik. Tidak mengapa, saya boleh mencuba lagi dengan mempertaruhkan single lain,” katanya kepada media.

Selain itu, video muzik lirik Cinta Tak Bertepi hanya mencecah 156,000 tontonan di saluran YouTube Aries Music, sejak dimuat naik pada 26 Julai lalu. Mengulas desas-desus tidak menyambung kontrak bersama Aries Music, Sufian berkata, kontraknya akan tamat tidak lama lagi.

“Kontrak bersama Aries Music akan tamat pada November ini. Bagaimanapun, saya belum membuat keputusan sama ada mahu menyambung kontrak atau sebaliknya.

“Insya-Allah, saya beri kata putus kepada Aries Music, bulan ini. Kami sudah tentu mencari jalan terbaik untuk kedua-dua pihak.

“Jujurnya, Aries Music banyak membantu saya sejak bergelar penyanyi. Jadi, kita lihat sahaja sama ada saya kekal bersama atau memilih label lain,” katanya.

Penyanyi kelahiran Mersing, Johor itu berkata, dia mempunyai beberapa karya baharu yang sudah siap, namun, kena berbincang dengan Aries Music.

“Jadi, ini adalah perkara yang saya dan Aries Music kena duduk berbincang sama ada masih boleh bekerjasama atau saya memberikannya kepada label lain, itu belum diputuskan,” katanya.

Berkongsi perancangan, Sufian juga calon awal kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 berkata, dia memang teruja mahu berkongsi karya terbaharu yang dihasilkan.

“Saya simpan karya ini agak lama. Keterujaan saya mahu memperdengarkan karya baharu ini seperti menghasilkan single Terakhir dan Di Matamu,” katanya. – Agensi