Suga isytihar darurat virus tamat

TOKYO, 28 SEPT – Perintah darurat koronavirus menyasarkan kehidupan malam di Tokyo dan beberapa kawasan lain akan berakhir minggu ini, kata Perdana Menteri Yoshihide Suga hari ini, ketika kes-kes mencatatkan penurunan di seluruh negara.

Langkah kecemasan yang sebahagian besarnya mengehadkan penjualan alkohol, waktu pembukaan restoran dan kapasiti orang awam pada acara-acara besar, dikuatkuasakan hampir setahun, termasuk ketika Olimpik berlangsung.

Ia dijadualkan tamat pada akhir September dan Suga mengatakan tidak akan ada pelanjutan kerana situasi virus yang semakin baik di Jepun.

“Terima kasih atas kerja keras semua, jumlah jangkitan baharu harian yang melebihi 25,000 dalam pertengahan Ogos, kini sudah menurun kepada 1,128 orang setakat kelmarin,” katanya pada satu mesyuarat kementerian.

“Kadar penggunaan katil di semua kawasan juga menurun di bawah 50 peratus. Jumlah orang yang sakit teruk memuncak pada awal September dan kini ia terus menurun,” tambahnya.

Sebanyak 19 kawasan, termasuk kawasan besar Tokyo, hab ekonomi Osaka dan Aichi serta kawasan tarikan pelancongan, Kyoto dan Okinawa pada masa ini dikenakan perintah darurat yang berakhir pada Jumaat ini.

Meskipun langkah-langkah itu ditamatkan, Suga mencadangkan agar bar dan restoran ditutup pada jam 9 malam. Namun ramai yang sudah pun tidak mematuhi peraturan itu, mengatakan sokongan kewangan virus daripada kerajaan tidak mencukupi untuk mereka kekal beroperasi.

Pandemik di Jepun tidaklah seteruk kebanyakan negara lain, merekodkan sekitar 17,500 kematian dalam kalangan 125 juta populasinya dan kerajaan pula tidak pernah melaksanakan arahan duduk di rumah yang ketat. – AFP

Pejalan kaki menyaksikan siaran langsung Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga mengumumkan pembatalan perintah darurat negara, di kaca televisyen kawasan Shinjuku, 28 September. – AFP