Suhaimi bangkit rangkul kejuaraan golf

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Suhaimi Ibrahim bangkit selepas defisit lima pukulan pada hari pertama untuk menjuarai 30th Pantai Mentiri Amateur Open dengan menamatkan perlawanan one-over-par 73 di pusingan terakhir kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri hari ini.

Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Suhaimi menyertai juara bertahan Awangku Muhd Syakir bin Pengiran Haji Alli untuk merebut gelaran sebelum mengakhir kejohanan dengan four-over-par 220, tiga stroke mengatasi Ahmad Yani yang mencatat seven-over-par 223 secara keseluruhan.

Awangku Muhd Syakir mengorak langkah pada Jumaat lalu selepas menjadi pendahulu tetapi terjejas pada hari kedua dan ketiga sekali gus tercicir pada kedudukan ketiga dengan mata keseluruhan seven-over-par 223.

Sementara itu, Nujaimi Jumat di tempat keempat dengan 12-over-par 228 sementara Mohd Haszwan Sayang di tempat kelima dengan 13-over-par 229.

Pemain yang tidak asing lagi seperti Zulhilmi bin Rosli yang berakhir di tempat keenam, Asmawi Ismail di tempat ketujuh dan Johari Haji Ahmad di tempat kesembilan sementara pemain golf kebangsaan, Aritz Maldini tersenarai dalam 10 terbaik.

Suhaimi Ibrahim (tengah) bergambar ramai bersama para pemenang yang lain.