Suhaimi Ibrahim juara golf amal

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Suhaimi Ibrahim muncul juara Overall Gross dan sekali gus dinobatkan sebagai juara Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-19 yang berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Pemegang Amanah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab dan Pengerusi Perlawanan, Awang Seruji bin Haji Setia serta para peserta perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, juara bagi Overall Nett Lelaki Terbuka dimenangi Seruji bin Haji Setia, Overall Gross Senior ialah Haji Abdul Aziz Mohammad Kassin dan Overall Gross Wanita ialah Agnes Chiew D Cruz.

Perlawanan golf amal berkenaan menyaksikan penyertaan daripada seramai 184 orang peserta dan diadakan selama tiga hari bermula 29 November hingga 1 Disember.

Hasil kutipan daripada perlawanan golf amal sebanyak kira-kira $14, 000 digunakan untuk membantu kanak-kanak dan belia yang berkeperluan khas di Pusat Ehsan bagi menampung perbelanjaan bulanan serta rancangan pembangunan pusat berkenaan.

Pusat Ehsan merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan dan bukan berasaskan keuntungan yang komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti, pemulihan dan penjagaan bagi mereka yang berkeperluan khas di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Overall Gross dan juara Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-19, Suhaimi Ibrahim.