Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Suhu lautan dunia membimbangkan

    PARIS, 11 JAN – Lautan dunia, yang telah menyerap kebanyakan lebihan haba yang disebabkan oleh pencemaran karbon manusia, terus-menerus memecahkan rekod suhu tahun lalu, menurut penyelidikan yang diterbitkan kelmarin.

    Perubahan iklim telah meningkatkan suhu permukaan di seluruh planet ini, sekali gus mendorong kepada ketidakstabilan atmosfera dan menguatkan kejadian cuaca ekstrem seperti ribut.

    Lautan menyerap kira-kira 90 peratus haba berlebihan daripada pelepasan gas rumah hijau, melindungi permukaan tanah namun menghasilkan gelombang haba marin yang besar dan kekal lama yang mendatangkan kesan buruk dan kebinasaan kepada hidupan dalam air.

    Penyelidikan berkenaan, yang dijalankan oleh para penyelidik dari China, Amerika Syarikat (AS), Itali dan New Zealand, berkata tahun 2022 merupakan tahun paling panas pernah dirakamkan di lautan dunia.

    Kandungan haba di dalam lautan telah melebihi paras tahun lalu sekitar 10 Zetta joule, bersamaan 100 kali penghasilan tenaga elektrik seluruh dunia pada tahun 2021, menurut mereka.

    “Lautan menyerap kebanyakan haba daripada pelepasan karbon manusia,” kata pengarang bersama, Michael Mann, profesor di Universiti Pennsylvania.

    “Sehingga kita mencapai pelepasan sifar bersih, pemanasan tersebut akan berlarutan, dan kita akan terus-menerus memecahkan rekod kandungan haba dalam laut, seperti mana yang kita lakukan pada tahun ini,” katanya. “Kesedaran yang lebih baik dan kefahaman terhadap lautan merupakan perkara asas yang perlu dilakukan untuk menangani perubahan iklim.”

    Rekod seawal tahun 1950an menunjukkan kenaikan tanpa henti suhu lautan dengan peningkatan berterusan sejak sekitar tahun 1985. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    29 pemberontak ditembak polis

    NEW DELHI, 17 APRIL - Polis di India menembak sekurang-kurangnya 29 pemberontak Maois di Chhattisgarh kelmarin, menurut pihak berkuasa, tiga hari sebelum permulaan pilihan...