Suhu panas melanda Jerman

BERLIN, 24 JUN – Suhu sehingga 40 darjah Celsius diramal melanda wilayah Rhine di Jerman pada minggu depan, manakala seluruh negara itu akan mengalami suhu panas luar biasa, lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan laman web rasmi Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD) semalam.

Menurut DWD, suhu dijangka mencecah 34 darjah Celsius pada Isnin hingga Rabu di sebahagian besar wilayah di Jerman dan mungkin boleh mencapai sehingga 40 darjah Celsius di kawasan tertentu di sepanjang Sungai Rhine.

Suhu panas antara 30 dan 38 darjah Celsius akan berlarutan menjelang hujung minggu berikutnya, terutama di kawasan tengah dan selatan Jerman.

Keadaan itu disebabkan tekanan atmosfera yang tinggi menyebabkan pembentukan awan kecil, kata DWD. – Bernama

Matahari terbit yang dirakamkan di Frankfurt, Jerman kelmarin. Jerman menjangka mengalami suhu panas dalam tempoh beberapa hari akan datang. – AP