Sujiman pemenang Toyota Cross SUV

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Awang Sujiman bin Mejari ternyata tidak menyangka mendapat durian runtuh dan terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama sebuah kereta Toyota Cross SUV dalam Kempen Win A Car anjuran Progresif Sdn Bhd yang bermula 18 September sehingga 31 Disember lalu.

Ketika ditemui wartawan, beliau menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran atas kemenangan tidak disangkanya setelah membeli pakej One Plan pada tahun lalu kerana mempercayai pakej tersebut lebih baik dan boleh dipercayai berbanding yang lain.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Kompleks Membeli-belah One City ialah Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada 20 pemenang lain disenarai pendek ke acara cabutan utama itu yang juga diadakan pada semasa jerayawara Progresif.

Jerayawara turut menampilkan produk sedia ada dan pelan langganan Progresif yang baru sahaja dilancarkan termasuklah Pelan Jalur Lebar Rumah Tanpa Had yang menawarkan kelajuan sehingga 200 MBPS.

Progresif juga mempromosikan kempen tanggungjawab sosial korporat mereka kepada orang ramai yang membolehkan orang ramai menderma data bagi membantu pelajar sekolah tempatan di negara ini, selain memperluaskan impak positif Progresif Media bagi industri kreatif tempatan.

Ketua Pegawai Strategi Korporat Progresif, Awang Johan bin Dato Haji Johar ketika menyampaikan ucapan ringkas pada acara itu mengatakan, Progresif bersemangat membangunkan momentum memberikan nilai yang lebih baik kepada rakyat negara ini melalui Pelan Jalur Lebar Mudah Alih dan Jalur Lebar di Rumah serta impak sosial positif daripada kempen Progresif for School dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dari hujung tahun lalu lagi.

Menurutnya, Progresif merupakan sebuah syarikat yang tidak gentar untuk mengutamakan kempen memberi kembali kepada masyarakat melalui sokongan dalam sektor-sektor seperti pendidikan, seni dan budaya, keusahawanan serta alam sekitar.

Awang Sujiman bin Mejari berkongsi tuah dan kegembiraan bersama keluarga selepas diumumkan pemenang utama Kempen Win A Car anjuran Progresif Sdn Bhd dan membawa pulang sebuah kereta Toyota Cross SUV pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar (dua, kanan) di Kompleks Membeli-belah OneCity, kelmarin. – Gambar serahan Progresif
Hajah Nurul Haniah bergambar ramai bersama para pemenang acara cabutan utama kempen Win A Car semasa jerayawara Progresif.