Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    SUKA hulur 2,500 helai pakaian

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 5 Mei – Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA), pagi tadi, telah meneruskan lagi Program Jelajah Sumbang dan Bantu Mukim ke Mukim yang mana kali ini di Mukim Ukong, Daerah Tutong yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit, Mukim Ukong.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohammad Hussain yang juga selaku Pengerusi SUKA.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung; Setiausaha dan Ketua Urusetia SUKA, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali selaku Pengerusi Program Sumbang dan Bantu, Penghulu Mukim Ukong, Haji Omar bin Abdul Aziz bersama pegawai-pegawai kerajaan, ketua-ketua kampung, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) dan lebih 100 orang penduduk kampong.

    Menerusi program jelajah itu, pihak SUKA telah menghulurkan bantuan berbentuk pakaian sebanyak 2,500 helai kepada orang ramai yang memerlukan khususnya bagi penduduk yang tinggal di sekitar kampung-kampung tadahan Mukim Ukong.

    Sumbangan pakaian ini diterima daripada orang ramai yang menyokong program ini melalui peti drop point yang dibuka 24 jam setiap hari yang ditempatkan di Bangunan Sukarelawan Daerah Tutong, Jalan Sungai Basong Daerah Tutong.

    Pegawai Daerah Tutong menyampaikan beg-beg sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
    Pegawai Daerah Tutong menyampaikan beg-beg sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

    Pakaian-pakaian ini telah pun melalui proses kawalan kualiti sebelum disalurkan kepada yang memerlukan.

    Selain itu, SUKA juga membukakan drop point sementara Sumbang dan Bantu di luar dewan berkenan yang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, bagi memudahkan kepada penduduk setempat menyalurkan sumbangan mereka.

    Sebelum beg-beg disumbangkan kepada yang memerlukan, majlis turut menyaksikan video ‘Program Sumbang dan Bantu SUKA’ selama 15 minit yang mendedahkan tentang sejarah bermulanya Program Sumbang dan Bantu, sistem pengurusan serta kesannya kepada masyarakat.

    Sejurus itu, tetamu kehormat menyerahkan beg-beg sumbangan kepada ibu-ibu tunggal, keluarga daif dan mereka yang memerlukan.

    Acara tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti Sumbang dan Bantu seperti stone pointing untuk kanak-kanak, pameran dan jualan Produk 1K1P serta hasil produk pertanian penduduk berkenan.

    Sejak program itu dimulakan, SUKA telah pun menerima lebih 12,000 helai pakaian daripada orang ramai dan berjaya menyalurkan sumbangan lebih 9,500 helai kepada orang yang memerlukan.

    Program berkenaan diungkayahkan adalah bertujuan untuk melebarkan skop bantuan di peringkat mukim serta sebagai usaha SUKA untuk menjalinkan kerjasama yang erat dengan organisasi-organisasi seperti MPMK, badan-badan dan kumpulan sukarela khususnya dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan sukarela.

    Selain itu, ia juga sebagai kaedah terbaik untuk memperkenalkan kegiatan SUKA kepada masyarakat khususnya belia-belia agar lebih peka dan meminati aktiviti sukarelawan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda