Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    SUKA sampaikan sumbangan pakaian

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 5 MEI – Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) menerusi Projek Sumbang dan Bantu di bawah Program Tutong Care, baru-baru ini, telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan berupa pakaian terpakai atau baharu kepada salah sebuah keluarga yang memerlukan.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut ialah Urus Setia SUKA, Haji Saiful Bahri bin Haji Umarali kepada keluarga berkenaan yang diwakili oleh
    Dayang Silah binti Putong.

    Turut menyaksikan penyampaian berkenaan ialah Pemangku Ketua Kampung Ukong, Awang Muhd Hakimi bin Abdullah Gampar.

    Majlis berkenaan bertujuan untuk meringankan beban masyarakat dalam melengkapi keperluan kehidupan harian.

    Projek berkenaan disokong oleh Jabatan Daerah Tutong dan diungkayahkan bersama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong yang masing-masing telah melaksanakan pengumpulan dan pengagihan sumbangan tersebut.

    Setakat ini, bagi tempoh Januari hingga April, lebih 1,000 pakaian telah diagihkan kepada keluarga yang memerlukan menerusi penghantaran ke rumah-rumah mahu pun pengambilan langsung di bangunan SUKA.

    Dalam pada itu, SUKA turut berkesempatan mengalu-alukan orang ramai untuk menyumbangkan pakaian, sama ada pakaian perempuan, lelaki dan kanak-kanak yang bersesuaian untuk disumbangkan.

    Orang ramai yang berkeinginan untuk menghulurkan sumbangan, bolehlah menghantar pakaian tersebut di Bangunan SUKA, Jalan Sungai Basong, Daerah Tutong bersebelahan Bangunan Radio Televisyen Brunei (RTB), Cawangan Daerah Tutong.

    Manakala itu, bagi sesiapa yang memerlukan pakaian sumbangan berkenaan bolehlah menghubungi Urus Setia SUKA di talian 8865925 atau salah seorang ahli SUKA di talian 8908849.

    Haji Saiful Bahri dan Awang Muhd Hakimi bergambar ramai bersama Dayang Silah yang menerima sumbangan pakaian berkenaan, baru-baru ini. – Gambar serahan SUKA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...