Sukan bersentuhan hanya untuk latihan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sukan bersentuhan seperti bola sepak dan bola keranjang hanya dibenarkan untuk mengadakan latihan sahaja dan tidak dibenarkan untuk bertanding semasa negara memasuki fasa peralihan.

Manakala pusat-pusat sukan seperti gimnasium, padang dan sebagainya akan dapat digunakan pada fasa peralihan nanti dengan menekankan beberapa garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) semasa sesi soal jawab berkaitan dengan sukan bersentuhan.

Sementara Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pula menjelaskan mengenai penggunaan kemudahan gimnasium dan padang di institusi pendidikan teknikal dan pengajian tinggi adalah hanya untuk mereka yang menerima vaksinasi lengkap sahaja manakala kemudahkan lain dikehendaki mengikut SOP yang ditetapkan.

Bagi kemudahan seperti gimnasium, pihak berkuasa seperti dari Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan akan mengeluarkan SOP yang ditetapkan untuk memasuki dan menggunakan gimnasium. “Semua SOP berkenaan perlu dipatuhi bagi menjaga keselamatan bersama dan meneruskan untuk ke fasa seterusnya,” jelasnya.