Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Sukan bina badan semakin dapat sambutan

    GAZA – Sukan bina badan kebelakangan ini mendapat sambutan di kalangan rakyat Gaza, yang berlainan jantina dan pelbagai peringkat umur.

    Sesetengah ahlinya berusaha untuk menurunkan berat badan, ada yang berharap untuk pulih daripada kesan pembedahan, manakala yang lain mahu mengikuti trend global untuk berkongsi gambar mereka di rangkaian media sosial dengan tokoh olahraga.

    Alaa Moqbel, penduduk Gaza berusia 21, menyertai latihan bina badan dua tahun lalu untuk menurunkan berat badan yang berlebihan untuk penampilan aktif yang sesuai dengan usianya.

    “Semasa tahun terakhir sekolah menengah, berat saya naik lebih 20 kilogram kerana selalu duduk di rumah untuk belajar,” kata pemuda itu sambil menambah selepas peperiksaan, dia terkejut apabila mengetahui dia tidak lagi mampu memakai pakaian yang dia suka.

    “Oleh itu, saya pergi ke gim untuk bersenam secara suka-suka, tetapi saya dapati bina badan mencapai semua matlamat saya tanpa perlu mempelbagaikan sukan,” katanya.

    Sukan bina badan telah tersebar secara meluas dalam kalangan masyarakat Gaza dalam tempoh lima tahun. – Xinhua

    Setelah usaha gigih, Moqbel berjaya mencapai berat badan ideal. Dia telah menjadi seorang yang sukakan fesyen, dan sering mengambil gambar dirinya dan memuatnaik ke Instagram.

    Bina badan berkembang pada akhir abad ke-19 di dunia. Ia bergantung terutamanya pada menguatkan otot dan membina badan, supaya ciri-cirinya menonjol. Ia juga dipanggil sukan besi, kerana ahlinya sangat bergantung pada peralatan sukan.

    Mereka biasanya bersenam selama sekurang-kurangnya satu jam, beberapa hari se-minggu, sementara mereka juga mengikuti diet yang sihat yang membantu mereka mencapai matlamat mereka dalam masa yang singkat.

    Muhammad Al-Aloul yang bekerja sebagai jurutera di Kota Gaza memberitahu Xinhua dia menyertai sukan ini khusus untuk menghilangkan masalah kesihatan yang dihidapinya termasuk sakit sendi dan belakang. Sebagai tambahan kepada manfaat kesihatan, sukan, bina badan khususnya, menyumbang kepada menghilangkan tekanan psikologi yang mungkin dialami oleh penduduk di Gaza akibat keadaan ekonomi dan politik yang tidak stabil.

    Sementara itu, Rasmiya al-Sayed, seorang ibu kepada lima anak berusia 36 tahun dari Kota Gaza, mengatakan dia telah mengalami ‘kemurungan yang teruk’ selama beberapa bulan selepas kehilangan rumahnya dalam konflik Israel-Palestin tahun lalu. “Secara tiba-tiba, saya menjadi gelandangan, tidak mempunyai rumah untuk saya dan keluarga. Saya sedang menunggu bantuan untuk menyara keluarga saya,” katanya.

    Dalam usaha untuk menghilangkan tekanan psikologi, selepas membina semula rumahnya dan memulihkan beberapa kestabilan, al-Sayed pergi ke gim untuk berlatih bina badan. “Kira-kira 80 peratus daripada orang yang menyertai kelab sukan lebih suka bermain bina badan,” kata Suhail al-Asaad, seorang jurulatih di Oxygen Gym yang berpangkalan di Gaza kepada Xinhua.

    Sukan bina badan telah tersebar secara meluas dalam kalangan masyarakat Gaza dalam tempoh lima tahun yang lalu, katanya, sambil menyatakan golongan muda “mempunyai maklumat yang luas tentang kepentingannya.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...