Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Sukan ikan duyung berkembang pesat di Afrika

    JOHANNESBURG – Puluhan warga Afrika Selatan berpakaian seperti ikan duyung bermain-main dalam sebuah kolam di Johannesburg, meniru pergerakan haiwan laut mistik itu.

    Sukan ikan duyung merupakan aktiviti yang semakin berkembang pesat di seluruh dunia dan sekarang ini Afrika Selatan mempunyai sekolahnya sendiri untuk mengajar sukan berkenaan – digelar ‘Merschool’ atau Sekolah Ikan Duyung.

    Sebelum terjun ke dalam kolam, setiap pelajar akan menyarung ekor fabrik beraneka warna yang berakhir dalam sirip renang.

    Para perenangnya terdiri daripada pelajar kulit putih dan kulit hitam, bermula dari usia 13 tahun hingga empat puluhan. Mereka termasuk guru sekolah, pengajar yoga malah akauntan.

    “Ia amat menyeronokkan,” kata pengajar sukan ikan duyung Izelle Nair.

    “Aktiviti tersebut adalah untuk senaman, untuk keseronokan, untuk fantasi, untuk terapi – namun yang paling penting, aktiviti ini adalah sejenis sukan.”

    Dalam air, para pelajar bergerak beralun ke atas dan bawah kolam sambil menyempurnakan tendangan dolfin mereka, atau berlatih mendayung – iaitu pergerakan tangan untuk menolak tubuh badan ke hadapan juga digunakan dalam acara renang berirama.

    “Kami berenang dengan menggunakan teknik dolfin dan kami menggunakan teknik mendayung, dan seterusnya kami menggabungkannya dan kami melakukan satu urutan,” kata Nair. Untuk menjadi ikan duyung, apa yang diperlukan adalah teknik yang betul, kebolehan menahan nafas dan minat dalam kostum.

    Dalam air, pelajar cuba melakukan pergerakan balik kuang akuatik. Nadia Walker, seorang lagi jurulatih duyung dari dunia renang berirama, berkata kedua-dua sukan mempunyai banyak persamaan.

    “Pergerakan, sesetengah aktiviti pemanas badan yang kami lakukan datang daripada aktiviti renang,” ujarnya.

    Sekolah itu berharap dapat menghantar sekurang-kurangnya seorang peserta ke Kejohanan Ikan Duyung Dunia di China pada tahun depan – dan pada satu hari nanti bidang tersebut akan menjadi satu sukan Olimpik. – AFP

    Pelajar melakukan latihan rutin semasa kelas ikan duyung di Merschool di Kayalami, berdekatan Midrand. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...