Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Sukan meluncur perkasa golongan muda Namibia

    WINDHOEK – Sukan meluncur telah memperkasa kanak-kanak kelainan upaya untuk merealisasikan potensi penuh mereka serta meningkatkan keterangkuman ketika membantu mengurangkan stigma dan meningkatkan keyakinan diri remaja yang tinggal di ibu kota Namibia, Windhoek.

    Melalui Skate Aid, sebuah organisasi antarabangsa yang bukan berasaskan keuntungan, remaja lelaki dan perempuan dari Institut Pendidikan Khas Namibia mengubah sikap dan persepsi negatif masyarakat terhadap orang kurang upaya.

    Bagi Thomas, seorang pelajar, membesar dengan ketidakupayaan adalah sangat mencabar tetapi meluncur telah memberikannya keyakinan dan nilai.

    Dia tidak lagi berasa rendah diri dan didiskriminasi.

    “Apabila kami meluncur, tidak kira awda buta, pekak, kaya atau miskin, berkulit hitam atau putih, kami semua sama.

    Michael Kagola (duduk), bergambar dengan kanak-kanak di taman skate di Windhoek, Namibia. – Xinhua

    “Kami bercakap bahasa yang sama dan mengikut peraturan yang sama di gelanggang. Saya gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” katanya.

    Pemuda berusia 12 tahun itu berkata sukan meluncur bukan sahaja mengubah hidupnya tetapi ia memberinya satu tujuan di mana dia teruja dengan masa depannya yang dia harapkan akan merangkumi sukan itu.

    Thomas telah menjadi sebahagian daripada pemain papan selaju sejak taman skate dibina di dalam Institut Pendidikan Khas Namibia pada 2018 dan dia berada di taman itu hampir setiap hari kecuali pada hujung minggu apabila dia berehat.

    Institut Pendidikan Khas Namibia terdiri daripada tiga buah sekolah, iaitu sekolah untuk orang cacat penglihatan, sekolah untuk orang cacat pendengaran dan sekolah untuk orang cacat kognitif.

    Kanak-kanak dari tiga buah sekolah ini menggunakan taman itu, yang juga dibuka kepada orang ramai.

    Melalui taman skate, kanak-kanak ini telah berjaya mendapat penerimaan.

    Minat dan harapan membuatkan mereka berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan seharian mereka dan mungkin mengubah keadaan mereka yang diabaikan dan tidak selalu diutamakan.

    Kamaya yang berusia 16 tahun bukan sahaja belajar meluncur, tetapi dia juga mempelajari bahasa isyarat yang menurutnya adalah satu bonus kerana kini dia dapat berkomunikasi dengan rakan sepasukannya.

    “Apabila saya mula-mula mula meluncur, saya sukar untuk berkomunikasi kerana saya tidak tahu mengenai bahasa isyarat tetapi saya membuat usaha untuk belajar, dan sekarang saya boleh memberi sapaan. Saya ingin mengatakan bahawa saya tahu asas-asasnya.

    Kamaya kini seorang pemain papan selaju profesional dan boleh melakukan trick yang berbeza yang kini cuba untuk mengajar rakan sepasukan yang kurang mahir.

    Menurut Michael Kagola, seorang sukarelawan dan jurulatih bantuan sukan meluncur, pemain terdiri daripada pelbagai kumpulan umur dari lapan hingga 19 tahun yang bukan sahaja dari Institut Pendidikan Khas Namibia tetapi juga dari masyarakat sekitar. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...