Sukan Olimpik Tokyo 2020 sah ditangguhkan

TOKYO, 24 MAC – Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 dan akan berlangsung sebelum musim panas tahun 2021, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengumumkan hari ini.

Sukan Olimpik tersebut dijadualkan pada 24 Julai hingga 9 Ogos, tetapi selepas perbincangan melalui telefon antara presiden IOC, Thomas Bach dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, keputusan bersama yang bersejarah itu telah diambil untuk menangguhkan buat pertama kali Sukan Olimpik secara damai.

Abe berkata Bach 100 peratus bersetuju apabila Jepun meminta IOC untuk menunda sukan itu.

Dalam satu kenyataan bersama, keduanya mengatakan bahawa berdasarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia semasa, Sukan Tokyo ‘mesti dijadualkan semula sehingga tarikh selepas tahun 2020 tetapi tidak lewat dari sebelum musim panas 2021, untuk mengutamakan kesihatan para atlet, semua orang yang terlibat dalam Sukan Olimpik dan komuniti antarabangsa’.

“Para pemimpin bersetuju bahawa Sukan Olimpik di Tokyo dapat dijadikan sebagai penyuntik semangat bagi dunia yang pada masa ini berdepan dengan situasi kritikal dan obor api Olimpik dapat menjadi cahaya penerang kepada masalah yang dihadapi dunia ketika ini.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach berjalan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ketika mereka meninggalkan upacara menandai satu tahun sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo bermula. – AFP

“Oleh itu, telah dipersetujui bahawa obor api Olimpik akan terus berada di Jepun dan bersetuju bahawa Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik akan tetap dinamakan Tokyo 2020,” kata kenyataan itu.

Keputusan itu akan menjadi tamparan hebat bagi bandar Tokyo, yang telah mendapat pujian secara meluas ke atas organisasinya dengan tempat-tempat yang telah siap jauh lebih awal dan tiket secara besar-besaran habis dijual.

Olimpik, yang pernah mengalami boikot, serangan pengganas dan protes, tetapi tetap diadakan setiap empat tahun sejak tahun 1948, akan menjadi peristiwa berprofil tinggi yang terjejas oleh virus yang telah membunuh beribu-ribu orang dan acara sukan ditutup di seluruh dunia.

IOC telah mengalami tekanan yang semakin meningkat pada hari-hari kebelakangan ini untuk menangguhkan upacara sukan itu, yang dijadualkan bermula pada 24 Julai, dengan 1.7 bilion orang di seluruh dunia kini berada dalam perintah berkurung dalam usaha untuk mencegah penularan COVID-19 itu.

Kebanyakan para atlet tidak dapat membuat latihan dan mendedahkan mereka berdepan risiko penularan virus tersebut. Pertandingan dan kelayakan telah dibatalkan, sementara perjalanan antarabangsa sangat terhad.

Pada Ahad lalu, IOC pada mulanya telah memberikan tempoh akhir dalam masa empat minggu untuk membuat cadangan bagi menangguhkan Sukan Olimpik itu.

Tetapi selepas Kanada dan Australia menarik balik pasukan mereka dan jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat turut menyertai kempen untuk menyeru kepada penangguhan itu.

Tokyo telah membelanjakan kira-kira AS$12.6 bilion untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, mengikut belanjawan terbaharunya dan pakar percaya penangguhan dapat menelan belanja sekitar AS$6 bilion dalam jangka pendek.

Ia juga akan menjadi tamparan hebat kepada penaja dan penyiar utama yang bergantung pada penyiaran acara sukan terbesar empat tahun itu untuk pendapatan pengiklanan. – AFP