Sukan Pantai Asia ditunda sehingga April 2021

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Atlet Negara Brunei Darussalam akan mengikut jejak negara-negara lain untuk menangguhkan penyertaannya ke Sukan Pantai Asia ke-6 di Sanya, China berikutan penundaan acara multi sukan itu pada April 2021.

Pada asalnya acara sukan tersebut dijadualkan diadakan pada 28 November hingga 6 Disember tahun ini, tetapi Majlis Olimpik Asia (OCA) telah mengumumkan tarikh baharu iaitu pada 2 hingga 10 April 2021.

Nama bagi acara sukan tersebut iaitu Sukan Pantai Asia 2020 kali ke-6 dan juga logo akan dikekalkan. Keputusan dibuat selepas perjumpaan bersama antara OCA, Komiti Sukan Olimpik China (COC) dan Komiti Penganjur Sukan Pantai Asia Sanya (SABGOC).

“Keputusan dibuat bersama dalam kerjasama dengan COC dan SABGOC bagi memastikan keselamatan para atlet dan pegawai serta penonton semasa pandemik COVID-19,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

“Kemasukan sukan dan butiran mengenai teknikal yang lain akan diaturkan dalam kerjasama dengan SABGOC dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” tambah kenyataan.

OCA juga menambah bahawa mereka merasa yakin sukan yang melibatkan usaha semua pihak akan menjadi satu kejayaan besar.

Masa depan untuk menganjurkan sukan tersebut tahun ini masih tidak dapat dipastikan berikutan berita mengenai kerajaan China mengenakan larangan sukan bagi kesemua acara sukan antarabangsa bulan lalu dengan pengecualian percubaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing.

Keputusan tersebut, yang diambil oleh Pentadbiran Umum Sukan China, segera dibuat oleh OCA untuk mengeluarkan kenyataan untuk mengubah semula jadual Sukan Pantai Asia dengan kerjasama beberapa pihak.

OCA berkata, “OCA dan COC sedang membuat perbincangan untuk menukar tarikh Sukan Pantai Asia disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Sebaik sahaja keputusan dibuat, OCA bekerjasama dengan COC dan SABGOC, akan mengumumkan tarikh baharu mengenai Sukan Pantai Asia ke-6,” tambahnya.

Negara Brunei Darussalam sering menyertai kejohanan multi sukan itu dan telah menyertai kesemua lima edisi sebelumnya sejak kali pertama dianjurkan di Bali, Indonesia pada 2008. Wakil negara berjaya meraih pingat emas pertama dalam acara sepak takraw pantai dalam Kategori Trio Lelaki di Pantai Patong, Phuket, Thailand pada 2014.