KABUL, AFGHANISTAN – Aspen! Zermatt! Kabul?Aksi permainan papan luncur dilakukan di sini?
Itu antara persoalan yang bermain di kepala saat sekumpulan orang muda Afghan sedang menimbang meletakkan bandar itu di peta sukan musim sejuk dan mengubah tanggapan tentang negara mereka yang dibelenggu peperangan.
Sebelum ini, kebanyakan masyarakat beranggapan bahawa ibu negara Afghanistan mungkin merupakan satu destinasi yang tidak mungkin untuk pemain papan luncur salji.
Kabul lebih dikenali dengan tembok konkrit tersergam dan tempat pemeriksaan keselamatan yang tegang. Namun ia juga terletak di sebuah lembah di pergunungan Hindu Kush pada ketinggian 1,800 meter. Rupa bumi yang berbatu-batan telah memberi inspirasi kepada orang muda Afghan untuk mengunjungi pergunungan dalam usaha mencari keseronokan.
Ahmad Romal Hayat, 22, yang menubuhkan Persekutuan Papan Luncur Salji Afghanistan, berkata walaupun sebuah negara itu dibelenggu peperangan dan konflik sektarian, tetapi ia masih boleh menemui ruang untuk sukan.



“Kami mula melakukannya (luncur papan salji) untuk memperkenalkan wajah baharu ini kepada dunia,” kata Hayat.
Sebagai seorang remaja, beliau memulakan dengan menggunakan papan selaju. Kemudian, beliau membeli papan luncur salji di negara jiran Iran dan mengajar dirinya bagaimana menggunakannya. Hayat berkata beliau adalah orang pertama yang membawa papan luncur salji ke Afghanistan, dan yang pertama mencubanya di sana.
Sekarang, beliau dan sebilangan kecil anggota persekutuan mengunjungi lereng luncur salji di luar Kabul setiap hujung minggu, biasanya bersama kira-kira 12 pelajar lelaki dan perempuan dan ramai penonton. Mereka datang untuk latihan percuma di cerun bukit bersalji di barat ibu negara, selalunya diselubungi dengan kabus kelabu.
Gunung itu, dikenali sebagai Kohe Koregh, digunakan oleh pejuang Afghan, atau pahlawan, untuk menghujani artileri dan roket ke atas Kabul ketika perang saudara Afghan pada tahun 1990.
Sekarang, ia adalah tempat untuk kanak-kanak yang ketawa yang meluncur di atas beg plastik, sementara anggota kumpulan Hayat berusaha untuk mempertingkat kemahiran bermain papan luncur salji di atas salji setebal 60 sentimeter.
Mereka masih perlu berkongsi papan luncur salji, dan bukit tersebut tidak mempunyai kemudahan lif. Ia bermakna mereka perlu berjalan kaki kembali semula di atas kemuncak selepas setiap larian – satu proses yang meletihkan.
Sementara mendaki naik semula di atas bukit, Karim Faizi menggambarkan laluannya untuk menjadi pengajar papan luncur salji. Beliau melarikan diri dari Afghanistan pada 2016 untuk mengelak peperangan berusia hampir dua dekad di antara AS dan militan Taliban.
Beliau berakhir mendapatkan perlindungan di Jerman di mana beliau jatuh cinta dengan sukan papan luncur salji. Pada tahun 2018, beliau pulang ke Afghanistan, berkata beliau melakukannya tanpa menunggu keputusan muktamad mengenai kes perlindungannya.
Sekarang, beliau bimbang mengenai masa depan.
“Jika Taliban kembali, adalah mustahil untuk meneruskan sukan papan luncur salji disebabkan Taliban bukan orang yang suka sukan. Mereka tidak mahu keamanan dan sukan,” kata beliau. Beberapa sukan, seperti bola sepak dan gusti dibenarkan ketika pemerintahan Taliban yang tegang dari tahun 1996 hingga 2001.
Pertempuran di antara Taliban di satu pihak dan AS dan sekutu kerajaan Afghan di pihak lain masih berterusan, walaupun tatkala AS berusaha mengusahakan satu perjanjian perdamaian dengan kumpulan pemberontak. AS dan Taliban sedang berunding pelucutan senjata atau pengurangan peperangan untuk membenarkan perjanjian perdamaian dimeterai. Perjanjian tersebut akan membuka laluan kepada perjanjian lepas peperangan yang lebih luas untuk penduduk Afghan, dan membenarkan pengunduran selain tentera AS dan gabungan.
Masa depan negara selepas peperangan dan peranan Taliban masih tidak jelas. Taliban buat masa sekarang mengawal atau menguasai kira-kira separuh daripada negara.
Buat masa sekarang, satu-satunya tempat yang mempunyai keselamatan yang cukup untuk menawarkan aktiviti sukan musim sejuk adalah di Kabul dan wilayah tengah Bamiyan. Hayat berkata pemain ski dan pemain papan luncur salji belum boleh meninjau gunung dengan potensi besar di wilayah Ghazni dan Wardak di barat daya ibu negara disebabkan Taliban mengawal kawasan berkenaan. Wilayah Bamiyan terkenal kerana menjadi tempat terletaknya kepada dua patung besar Buddha berusia 1,500 tahun yang diukir menjadi sebuah gunung, yang diletupkan oleh Taliban pada 2001.
Namun Bamiyan juga menganjurkan pertandingan bermain ski setiap tahun, dan komuniti pemain papan luncur salji yang kecil dalam negara dijangka berkunjung ke sana untuk pertandingan tertutup pada Sabtu. Mereka juga sedang menuju ke timur ke lembah Swat yang indah di Pakistan pada akhir bulan ini untuk mengambil bahagian dalam satu pertandingan terbuka.
Hayat telah berdaftar dengan kawasan Afghan dengan Persekutuan Papan Luncur Salji Antarabangsa, walaupun kerajaan Afghan tidak menawarkan bantuan kewangan. Faizi berkata beliau bercita-cita untuk kembali berlatih di Jerman, dan pada satu hari nanti mewakili Afghanistan dalam Olimpik Musim Sejuk.
Namun kembali semula di cerun Kohe Koregh, beberapa orang muda Afghan berasa teruja untuk merasai keseronokan bermain papan luncur salji.
Zahra Hakimi, 16, ialah anggota kumpulan etnik minoriti Hazara. Beliau datang bersama kawannya untuk menyaksikan permainan papan luncur salji. Beliau dan seorang lagi kawannya memutuskan untuk mencubanya.
Pada mulanya, Hakimi bergelut untuk mengimbangi badannya, namun akhirnya berjaya bergerak sejauh 10 meter pada satu masa tanpa jatuh.
“Apabila saya melihat betapa gilanya orang terhadap sukan ini – budak perempuan dan lelaki mencuba, jatuh sekali lagi dan lagi tetapi masih terus melakukannya – saya betul-betul percaya ia mempunyai masa depan yang cerah,” kata beliau. – AP




























