Sukan Piala Borneo di Mesir labuh tirai

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Sukan Piala Borneo ke-3 anjuran Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir (BKPBDK) Sesi 2018/2019 di bawah Unit Sukan dan Kesihatan telah melabuh tirainya, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat acara penutup sukan berkenaan ialah Setiausaha Pertama di Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad yang turut menyampaikan hadiah kepada para peserta.

Turut hadir ialah Atase Pelajaran dan Kebudayaan Negara Brunei Darussalam di Mesir, Awang Ariffin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar beserta pegawai tertinggi lain dari kedutaan Negeri Sabah dan Kalimantan.

Sukan dengan tema ‘Yang Terkuat Bukanlah Juara, Yang Terkuat adalah Kita’ tersebut dianjurkan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan para penuntut selain memupuk semangat melalui aktiviti sukan.

Kejohanan selama lima hari di Kelab Nasr City Sporting, Kaherah yang diadakan setiap dua tahun itu telah disertai oleh para penuntut dari Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Para penuntut dari Borneo bergambar ramai semasa acara penutup Sukan Piala Borneo ke-3 di Kelab Nasr City Sporting di Kaherah.