Sukan sambil beramal

Bersukan sambil beramal. Itulah matlamat penyanyi dan penyampai radio, Mawi apabila mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan antara Mawi World FC dengan Vieura FC, baru-baru ini.

Bukan sekadar berkumpul dengan rakan artis, malah, mereka menjayakan program amal atas padang bola bagi membantu penggiat seni yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Mawi berkata, program perlawanan bola sepak persahabatan antara Mawi World FC dengan Vieura FC itu sebagai tanda prihatin terhadap penggiat seni yang berhadapan dengan kesukaran hidup apabila sakit dan tidak bekerja dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Alhamdulillah, program amal ini berjaya mencapai matlamat iaitu bersukan sambil beramal.

“Kami membenarkan orang ramai melihat artis beraksi atas padang, masuk secara percuma. Kami juga menghulurkan sumbangan kepada penggiat seni yang berdepan dengan kesempitan hidup akibat terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya kepada wartawan.

Penyanyi lagu Kian dan Aduh Saliha itu berkata, dia bersyukur Mawi World FC berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM15,000, manakala Vieura FC pula sebanyak RM3,000 menjadikan keseluruhannya berjumlah RM18,000.

“Sebenarnya, perancangan meng-adakan program amal ini dirancang sejak PKP lalu, namun, tertunda. Alhamdulillah, akhirnya berjaya dilaksanakan dengan sokongan ramai pihak, termasuk penaja, Al-Ikhsan dan Al Wiqoyah,” katanya.

Dalam masa sama, Mawi berterima kasih kepada rakan artis yang sudi menjayakan program amal berkenaan.

Mawi berkata, dia dan pemain Mawi World FC membariskan Datuk Fizz Fairuz, Aidil Aziz, kumpulan Zero, Fiq Mentor, Zalif Sidek, bekas pemain ne-gara Shahril Arsat dan komposer Sheikh Qalam. Perlawanan berkenaan juga dimeriahkan dengan celoteh Anas Tahir dan Along Cham sebagai pengulas.

Tambah Mawi, dia seronok dapat meluangkan masa melakukan aktiviti sihat, memandangkan sudah lama tidak turun padang bermain bola sepak.

“Saya sudah sangat lama tidak bermain bola sepak, kali terakhir saya bermain bola sepak adalah pada usia 16 tahun. Bayangkan, sekarang saya sudah berusia 40 tahun.

“Kenapa saya nak bermain bola sepak semula sebab berjanji dengan pemilik Vieura FC. Jadi, ini adalah bagi memenuhi janji kepadanya,” katanya. – Agensi

Bukan sekadar berkumpul dengan rakan artis, malah, Mawi menjayakan program amal atas padang bola bagi membantu penggiat seni yang terkesan dengan pandemik COVID-19. – Agensi