KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Walaupun hanya menjalani latihan selama dua minggu, skuad skuasy negara mampu mendominasi acara beregu campuran selepas membolot pingat emas dan perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Pingat emas ketiga bagi kem skuasy dihadiahkan beregu pilihan pertama kejohanan, Sanjay Singh Chal-S. Sivasangari yang menundukkan rakan senegara Ryan Neville Pasqual-Andrea Lee Jia Qi, 11-9 11-10 di Pusat Skuasy Nasional hari ini.
Perlawanan terhenti seketika pada skor 5-2 apabila raket Sanjay secara tidak sengaja terkena lutut Ryan Neville namun diteruskan sehingga habis set pertama.
Sanjay, 23, berkata corak permainan mereka agak sama namun kemenangan pastinya akan berpihak kepada taktik siapa yang lebih bagus.
“Final tadi menyerupai latihan yang pada kebiasaannya berakhir dengan keputusan sengit. Kami berlatih bersama setiap hari jadi masing-masing sudah tahu macam mana saingan cuma hari ini kami beraksi lebih baik daripada mereka,” katanya.
“Sebenarnya tiada tekanan bila kami dapat tahu yang kami akan berlawan sama sendiri pada final,” katanya yang berharap dapat beraksi dengan cemerlang di Sukan Komanwel nanti.
Pingat gangsa acara itu dikongsi beregu Filipina diwakili Robert Andrew Garcia-Jemyca Aribado dan pasangan Singapura, Pang Ka Hoe-Mao Shihui.
Ditanya mengenai keserasian mereka di gelanggang, Sivasangari berkata walaupun baru digandingkan namun beliau dan pasangannya mampu beraksi dengan baik.
Katanya, ini menjurus kepada kilauan emas pertamanya di KL2017 sekali gus menambah keyakinan untuk acara perseorangan wanita. – Bernama