Sukan-sukan single match dibenarkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Sukan-sukan single match ataupun satu lawan satu kini sudah dibenarkan berdasarkan kemas kini syarat dan garis panduan bagi tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial seperti yang dinyatakan kenyataan media bertarikh 3 Jun.

Sukan-sukan single match yang dibenarkan bagi fasiliti sukan tertutup (indoor) ialah badminton, skuasy, ping pong dan sukan kiu manakala fasiliti sukan luar (outdoor) ialah tenis, boling padang, petanque dan memanah.

Manakala itu, sebagai tambahan, sukan tenpin Boling juga adalah dibenarkan bagi fasiliti sukan tertutup (indoor).

“Syarat dan garis panduan bagi fasiliti sukan iaitu gim dan pusat kecergasan dan padang golf adalah dikekalkan seperti yang sebelumnya,” jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa sejak pembukaan semula keempat-empat jenis pusat dan fasiliti sukan berkenaan pada 16 Mei, sejumlah 131 buah premis gim dan pusat kecergasan telah mendaftar dengan aplikasi BruHealth iaitu sebanyak 104 buah premis di Daerah Brunei Muara, 20 buah di Daerah Belait, empat buah di Daerah Tutong dan tiga buah di Daerah Temburong.

Dalam tempoh itu, statistik menunjukkan bahawa jumlah pengunjung ke gim dan pusat kecergasan komersial, fasiliti sukan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan padang-padang golf di seluruh negara adalah seramai 12,185 orang.

Daripada jumlah ini, seramai 5,854 orang telah berkunjung ke premis gim dan pusat kecergasan komersial, 2,342 orang telah menggunakan fasiliti dan kemudahan sukan di bawah kawalan KKBS dan 3,989 orang pemain golf telah menggunakan tujuh buah premis golf di keseluruhan daerah.

“Sekali lagi diingatkan bahawa para pengguna hendaklah membawa peralatan sukan sendiri di mana perkongsian peralatan tersebut adalah tidak dibenarkan.”

Tambahnya lagi, “Di sam-ping itu, sukan-sukan anjuran, sukan berpasukan dan sukan yang melibatkan kontak (contact activity) juga tidak dibenarkan.”

Setiap pengguna juga hendaklah mendaftar secara awal (pre-booking) dan memuat turun aplikasi BruHealth untuk tujuan pendaftaran kod QR dan bagi tempahan fasiliti sukan. Pada masa yang sama, pemilik pusat-pusat dan fasiliti sukan juga hendaklah menyelenggarakan sistem tempahan dan jadual masa bagi memastikan keselamatan kakitangan dan pengguna.

Yang Berhormat Dato juga mengingatkan para pengguna dan pengurus premis untuk terus mempraktikkan garis pandu Kementerian Kesihatan yang sedia ada dengan sentiasa mengamalkan tanggungjawab sosial semasa berada dalam fasiliti sukan tersebut, berada dalam keadaan yang sihat, membawa hand sanitizer sendiri serta memastikan kebersihan diri, peralatan dan persekitaran fasiliti pada setiap masa.