Sukar kawal COVID-19 jika PRK, PRN diadakan – Muhyiddin

MUAR, 30 OKT – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membayangkan kesukaran untuk mengawal penularan COVID-19 jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam masa terdekat dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, yang telah ditetapkan pada 5 Disember ini.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa sama turut mengakui tiada pihak lain yang boleh membantu pihaknya untuk sama-sama turun padang melakukan kerja-kerja di luar kerana masing-masing takut terhadap wabak terbabit.

“Tidak lama lagi ada PRK Batu Sapi. Tidak lama lagi ada Pilihan Raya Negeri Sarawak, saya tidak pasti bagaimana cara kita hendak mengawal.

“Malahan sekarang bila hendak adakan PRK Batu Sapi, SPR kata tiada orang yang sanggup membantu SPR di luar, kenapa? Kerana takut COVID-19,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata beliau ada berbincang dengan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh untuk mengadakan sekatan-sekatan supaya tidak ada kempen untuk pilihan raya.

“(Cadangan mungkin) berkempen secara maya gunakan telefon (bimbit), gunakan radio, televisyen… itu mungkin boleh membantu mengurangkan (wabak),” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata bagi PRN Sarawak pula, sudah tentunya akan menyebabkan ratusan ribu orang Sarawak yang bekerja di Semenanjung pulang ke negeri mereka sekali gus membayangkan kesukaran untuk mengawal penularan berdasarkan situasi berkenaan. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada program Sembang Santai bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan NGO Pagoh di Restoran Taman Pagoh, kelmarin. – Bernama