Sukarelawan Belia terima sumbangan sarung tangan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Sejumlah 40 kotak sarung tangan pakai buang (disposable) tajaan Lions Club telah diserahkan kepada Sukarelawan Belia pada acara yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Bekas Presiden (Immediate Past President) Lions Club, Sunil Ramchandani kepada Ketua Komuniti Operasi Jabatan Sukarelawan Belia, Awang Mohd Ashmeer bin Imtiaz Ahmad.

Ketika mengulas mengenai inisiatif derma berkenaan, Sunil Ramchandani menyatakan bahawa kelab berkenaan komited untuk membantu masyarakat yang mereka layani di sini di Brunei.

“Kami diberi piagam pada 1970 dan ini adalah ulang tahun ke-50 kami. Kami mengharapkan lebih banyak lagi untuk (diberikan kepada) masyarakat. Kami akan terus menyokong usaha sukarelawan ini untuk membantu masyarakat dalam masa-masa sukar ini,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Bekas Presiden Lions, Tay dan ahli Lions, Rasel serta Ketua Bahagian Pentadbiran Operasi Sukarelawan Belia, Awang Mohd Abdul Wafi bin Haji Sofian dan Ketua Kempen Derma Kumpulan Sukarelawan Belia, Pengiran Anak Mohd Hasnan bin Pengiran Anak Haji Rozanan.

Kumpulan berkenaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lions Club atas inisiatif mereka.

Sumbangan berkenaan akan digunakan di pelbagai lokasi yang kini dikendalikan oleh kumpulan berkenaan seperti Pusat Pengasingan Kebangsaan, masjid-masjid, kempen derma dan sebagainya.

Sunil Ramchandani menyerahkan sumbangan sarung tangan untuk Sukarelawan Belia. – Gambar oleh Muiz Matdani