Sukarelawan bomba didakwa cetus kebakaran

SYDNEY, 27 NOV – Seorang anggota sukarelawan bomba didakwa atas tuduhan melakukan kebakaran selepas didakwa menyalakan api di tujuh tempat, sebelum bergegas membantu rakannya memadamkan semua kebakaran itu.

Menurut pihak berkuasa, pemuda berusia 19 tahun itu didakwa dengan sengaja memulakan tujuh kebakaran di bahagian paling selatan New South Wales, iaitu lokasi paling teruk dilanda kebakaran hutan sekitar pertengahan Oktober dan akhir November.

Dia dikatakan dilihat duduk dalam kenderaan tengah hari semalam, sejurus sebelum satu kebakaran meletus di kawasan berhampiran.

“Polis akan mendakwa lelaki itu di mahkamah kerana menyalakan api, sebelum meninggalkan kawasan itu untuk menjalankan tugas sebagai anggota bomba,” kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Pemuda terbabit ditahan sejurus selepas itu dan didakwa dengan tujuh pertuduhan menyebabkan kebakaran dan membiarkan ia merebak secara sengaja. Komisioner Perkhidmatan Bomba Pedalaman New South Wales, Shane Fitzsimmons berkata, suspek turut digantung serta merta daripada tugas. – AFP

Seorang anggota sukarelawan bomba didakwa kerana mencetuskan kebakaran di kawasan yang paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan di New South Wales. – AFP