Sukarelawan kesihatan diajak bersama perangi wabak

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kementerian Kesihatan hari ini mempelawa sukarelawan kesihatan bagi sama-sama menangani keadaan wabak yang semakin meningkat di negara ini.

Pelawaan itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pekerja kesihatan yang pada masa ini bekerja di klinik-klinik swasta atau sudah bersara dan mempunyai keupayaan serta berhasrat menjadi sukarelawan kesihatan untuk menghubungi talian 7455109.

Beliau turut menyeru orang ramai yang ingin membuat sumbangan bolehlah berhubung terus dengan MOH Emergency Operation Centre (MOHEOC) di talian 7295712 pada waktu bekerja.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menambah, Kementerian Kesihatan juga memerlukan bantuan orang ramai khususnya penderma-penderma darah untuk tampil menderma darah bagi menampung keperluan di hospital-hospital kerajaan.

“Sesiapa yang hadir untuk menderma darah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung, mengamalkan kebersihan diri dan melakukan langkah-langkah penjarakan fizikal pada setiap masa,” nasihat Yang Berhormat Dato.

Pada ketika negara sedang berdepan dengan situasi wabak yang semakin meningkat, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan kerap mencuci tangan, memakai penutup mulut dan hidung pada setiap masa, khususnya apabila berada di dalam bangunan atau semasa berada dalam keadaan sesak di dalam atau luar bangunan selain mendapatkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mengikut jadual tempahan masing-masing.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk menambah slot dan tempat vaksinasi dalam masa yang terdekat ini untuk membolehkan lebih ramai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam mendapatkan suntikan dengan selamat,” ujar beliau sambil menasihatkan orang ramai supaya berjumpa dengan doktor dan melakukan ujian swab SARS-CoV-2 jika mempunyai tanda-tanda jangkitan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya jangan keluar rumah termasuk untuk hadir mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 jika telah menerima arahan kuarantin atau pengasingan diri.

Sesiapa yang mempunyai kod BruHealth berwarna merah dan ungu tidak dibenarkan keluar rumah sama sekali, kecuali untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Ini adalah menyalahi Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Selain itu, jangan benarkan orang lain masuk ke rumah jika awda dalam kuarantin atau pengasingan diri,” tegas Yang Berhormat Dato.

“Jangan keluar rumah jika tidak perlu. Teranah di rumah dan lakukan kaedah work from home bagi membantu kerajaan mengurangkan penularan wabak COVID-19 di negara ini. Lakukan penjarakan fizikal jika terpaksa keluar rumah,” tambahnya.