Sukarelawan Mesir bantu pesakit pengasingan diri

KAHERAH – Ketika dunia masih di bawah ancaman koronavirus, pelbagai langkah-langkah pencegahan penularan wabak yang dikeluarkan, antaranya pesakit-pesakit COVID-19 ada yang diarahkan untuk melakukan pengasingan di rumah masing-masing.

Justeru dengan pengasingan diri ini, pergerakan mereka agak terhad hanya di dalam rumah tanpa dibenarkan bebas berada di kawasan luar. Pesakit-pesakit ini terasa terkongkong dan sayu dengan keadaan mereka yang dijangkiti virus itu. Sehingga setiap aktiviti mereka seperti makan dan minum memerlukan bantuan dari orang lain.

Namun, apa yang menyedihkan lagi, sesetengah orang malah menjauhkan diri daripada mereka kerana merasa khuatir akan dijangkiti. Kelakuan seumpamanya sebenarnya perlu dielakkan kerana ia akan membuatkan para pesakit merasa tersinggung. Kalau bukan orang di sekeliling mereka siapa lagi akan menyokong mereka untuk meneruskan hidup. Oleh itu, kita secara sukarela membantu mereka dan memberikan harapan dalam hidup mereka atas dasar perpaduan di dalam diri kita.

Sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan pemuda Mesir berbudi bahasa yang disokong oleh ratusan sukarelawan dan ribuan pengikut berkomunikasi secara dalam talian dan mengatur memasak serta menghantar makanan percuma kepada pesakit COVID-19 yang menjalani pengasingan diri di rumah, yang kadang-kadang dielak oleh pekerja penghantaran restoran.

“Initiative of healthy meals for home-isolated coronavirus patients “ adalah nama salah satu kumpulan yang ditubuhkan di Facebook lebih dari dua minggu yang lalu oleh sebilangan rakan, setelah mereka mengetahui bahawa beberapa restoran menghindari penghantaran makanan ke rumah pesakit COVID-19.

Beberapa orang sukarelawan menyediakan makanan percuma untuk pesakit COVID-19 yang menjalani pengasingan diri di rumah di Kaherah, Mesir. – Xinhua

“Setakat ini, kami telah menghantar lebih daripada 5,000 makanan kepada lebih 1,000 pesakit koronavirus di rumah. Kami memberikan setiap pesakit makanan yang cukup selama tiga hari,” Anas Hassan, seorang pekerja bank berusia 29 tahun dan salah seorang pengasas kumpulan, memberitahu media.

Hassan menekankan bahawa tujuan utamanya adalah untuk menunjukkan kasih sayang dan perawatan kepada pesakit dan memberi mereka sokongan moral, dengan menyatakan bahawa kumpulan itu tidak menerima sumbangan wang tetapi mereka mengalu-alukan bantuan bahan-bahan dan kerja memasak atau penghantaran.

Di rumahnya di pusat bandar Kaherah, Somaya el-Asyouty, seorang suri rumah yang suka memasak, baru-baru ini menggunakan dapurnya untuk memasak dan menyediakan puluhan makanan untuk pesakit koronavirus yang diasingkan.

“Inisiatif seperti itu memberitahu pesakit bahawa mereka tidak bersendirian,” kata suri rumah Mesir itu.

“Sekarang saya tidak bimbang jika saya dijangkiti kerana saya tahu ada orang yang mengambil berat, akan menjaga saya seperti kita menjaga orang lain,” tambahnya.

Di wilayah Giza berhampiran ibu kota Kaherah, sekumpulan pemuda lain menggunakan sebuah ruangan di tingkat bawah bangunan lama sebagai dapur tempat mereka memasak dan menyediakan kotak makanan untuk dihantar kepada pesakit COVID-19.

Ruang dapur kelihatan seperti sarang lebah dengan Ahmed el-Bardeesy, seorang tukang masak sukarelawan berusia 28 tahun, sibuk dengan pembantunya menyiapkan dan mengatur makanan di atas meja besar.

Setiap hidangan terdiri daripada nasi, sepotong ayam dan campuran sayur-sayuran yang dimasak, selain sekotak buah-buahan dengan setiap hidangan.

Bardeesy, setelah menutup restorannya di pusat bandar Kaherah sejak awal krisis, telah memulakan inisiatif di laman Facebooknya tiga minggu yang lalu dan segera mendapat respons positif besar-besaran dengan banyak orang memberikan sumbangan dan bantuan.

“Saya memulakan kerja di dapur dengan 30 hidangan dan saya hanya mempunyai seorang pembantu dan dua orang penhantar. Keesokan harinya saya mempunyai sekurang-kurangnya lima orang pembantu dan lima orang penghantar, semuanya adalah sukarelawan,” kata tukang masak suka-relawan itu, sambil menambah dengan nada gembira, “sekarang kami mengedarkan kira-kira 120 makanan setiap hari.”

Bardeesy bahkan telah mula mendirikan dapur selama satu minggu di setiap wilayah secara bergilir-gilir untuk menyokong pesakit COVID-19 di rumah. Dia kini berada di wilayah pesisir utara Alexandria di mana dia telah memasak dan menghantar sekurang-kurangnya 100 hidangan setakat ini.

“Kami bahkan menulis ungkapan yang menggembirakan dan melampirkannya dengan setiap kotak makanan, seperti ‘Kami menyayangimu!’ ‘Semoga cepat sembuh!’ dan ‘Anda lebih kuat daripada koronavirus!’” kata Bardeesy kepada media. – Xinhua