Sukarelawan muda Mesir tingkatkan kesedaran kesihatan

KAHERAH – Sayed Mansi menghentikan pengutip sampah di sebuah jalan di pusat bandar Kaherah, menyemburkan tangannya dengan gel beralkohol pembasmi kuman dan membekalkannya dengan set topeng muka dan sarung tangan lateks.

Satu kempen yang dikenali sebagai “We Can” dilancarkan oleh Mansi dan kawan-kawannya untuk membantu dan mendidik orang ramai memerangi koronavirus, yang telah menjangkiti penduduk tempatan dan warga asing di Mesir.

“Kawan-kawan dan saya merasakan kita tidak harus berdiam diri dan kita harus berusaha memainkan peranan positif dalam mengatasi krisis koronavirus,” kata sukarelawan muda berusia 23 tahun itu kepada media.

Dimulakan oleh lima sukarelawan muda, kempen itu telah berkembang sejak beberapa hari yang lalu dan mempunyai 15 orang ahli sekarang. Melalui laman Facebook mereka, para sukarelawan cuba menarik lebih banyak ahli di seluruh negara.

Kempen ini dibuat ketika harga topeng muka, sarung tangan atau gel pembasmi kuman bertambah dua atau tiga kali ganda di Mesir disebabkan permintaan yang luar biasa, yang mendorong Mansi untuk mendesak semua rakyat Mesir untuk menyertai kempen tersebut dan membantu menyediakan bekalan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Sukarelawan menitiskan gel pembasmi kuman ke tangan orang awam di Cairo, Mesir. – Xinhua

“Kami membeli bekalan dengan duit kami sendiri untuk diedarkan secara percuma. Kami mengalu-alukan sokongan dan sumbangan rakyat dalam bentuk sarung tangan, topeng muka dan pembasmi kuman. Kami tidak menerima sumbangan wang,” kata Mansi.

Di samping menyediakan pejalan kaki dengan topeng dan sarung tangan lateks, sukarelawan juga menjelaskan kepada orang bagaimana menggunakan topeng muka dengan betul, dan bagaimana untuk menjaga jarak yang selamat ketika berkomunikasi dengan orang lain.

Seorang pengutip sampah, yang enggan memberikan namanya, menghargai kempen dan keprihatinan anak-anak muda berkenaan.

“Mereka sangat baik dan peduli, saya tahu dari mereka bagaimana melindungi diri saya dari virus berjangkit ini,” kata lelaki tua itu kepada media sebelum bergegas ke tempat kerja. Ola Ahmed, seorang wanita berusia pertengahan 20an, berkata bahawa dia menyertai kempen antikoronavirus dengan rakan-rakannya ketika kerjanya sebagai seorang penjaga anak damit di sebuah tadika digantung akibat wabak itu.

“Orang ramai melayan kami dengan baik walaupun sesetengah masih enggan menerima perkhidmatan kami, tetapi kebanyakan orang sangat memahami. Kami akan meneruskan kempen ini sehingga krisis berakhir,” katanya dengan bersemangat.

“Kami memberikan arahan kepada orang untuk mengekalkan kebersihan diri dan mencuci tangan mereka dengan kerap. Kami juga menghentikan pemandu teksi dan penjual untuk memberitahu mereka betapa pentingnya memakai sarung tangan ketika bekerja dan memberikan mereka sarung tangan,” katanya.

“Ia adalah satu usaha yang baik dan semangat golongan muda ini boleh dicontohi. Mereka memberikan nasihat dan garis panduan untuk meningkatkan kesedaran kita tentang virus,” kata Ramadan Abdel-Hamid, seorang lelaki berusia 63 tahun.

“Orang ramai memerlukan lebih banyak kesedaran dan inilah yang dilakukan oleh kempen ini, saya harap mereka akan meneruskannya dan usaha mereka akan mendapat ganjaran,” tambah Abdel-Hamid. Abdel-Razek Saeed, 37, pekerja kementerian kesihatan dari wilayah Minufiya, berada di ibu negara dan mendapat topeng muka percuma dan sepasang sarung tangan yang disediakan oleh kempen itu.

“Saya berharap dapat melihat lebih banyak inisiatif seperti ini untuk membantu mereka yang tidak dapat melindungi diri mereka daripada virus ini. Kami berterima kasih kepada golongan muda yang bijak dan bertanggungjawab ini,” katanya. – Xinhua