Sukarelawan pelbagai kaum bergabung hasilkan PPE

MIRI, 17 APRIL – Seramai 42 sukarelawan, yang antaranya petugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong dan tukang jahit, telah bergabung tenaga menghasilkan peralatan pelindungan diri (PPE) untuk kegunaan barisan hadapan dalam menghadapi penularan wabak COVID-19.

Penyelaras usaha yang dinamakan #Sew4FrontlinersMiri itu, Nor Azlina Samin berkata beliau terpanggil untuk memulakan usaha berkenaan setelah melihat usaha yang sama dilakukan oleh rakannya di Semenanjung yang giat menghasilkan PPE, gaun pengasingan dan pelbagai keperluan lain untuk pasukan barisan hadapan terbabit.

“Terkesan dengan suasana COVID-19 sekarang, saya berbincang dengan Ustazah Norleha Abdul Ghani daripada Pertubuhan Ikram Malaysia Miri dan rakan saya Teo Yen Luan yang juga tukang jahit untuk mencari bahan serta dana untuk projek kami,” katanya kepada Bernama.

Sejak mula beroperasi 12 April lepas di beberapa tempat antaranya Blue Green Dressmaker, Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, rumah orang  perseorangan serta Bengkel Jahit Persendirian Al Barakah Enterprise, kumpulan berkenaan  telah menghasilkan sebanyak  2,550 gaun pengasingan dan PPE  serta 550 pasang sarung kasut  selain turut menghasilkan sarung atau tudung kepala.

“Kami akan salurkan bantuan PPE kepada yang memerlukan seperti pihak Bomba dan Penyelamat Miri, Klinik Kota Samarahan, Klinik Batu Kawa, Hospital Sibu dan mana-mana klinik kesihatan yang memerlukan dan penerima pertama peralatan terbabit adalah Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, Klinik Kota Samarahan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat  Zon 6 Miri,” katanya. – Bernama