Sukarelawan Syria bantu pekerja buruh semasa COVID-19

DAMSYIK – Ketika Syria sedang menjalani perintah berkurung dan penggantungan sementara kebanyakan pekerjaan harian, satu kumpulan sukarelawan mula membantu pekerja buruh dengan memberikan mereka makanan dan detergen semasa waktu perintah berkurung.

Pasukan yang dipanggil sebagai Ammerha, atau Build It, memilih untuk membantu pekerja buruh yang telah kehilangan pekerjaan, semasa waktu perintah berkurung dan penggantungan kerja-kerja harian di ibu negara.

Dengan bantuan komuniti dan peniaga tempatan, kumpulan sukarelawan mengedarkan bungkusan makanan dan detergen kepada keluarga yang paling terjejas. Mereka mendapat nama-nama penerima daripada data lama yang telah mereka kumpulkan dan menambah nama-nama baharu untuk memastikan bantuan tersebut dapat disalurkan kepada individu yang memerlukan.

Di sebuah gudang di Damsyik, para sukarelawan, kebanyakannya pelajar universiti, menyediakan bungkusan makanan dan detergen dalam beg dan memuatkannya ke dalam kereta untuk diedarkan di beberapa kawasan di ibu negara dan di kawasan pedalaman.

Muhammad Jaddou, seorang penyelia, memberitahu media bahawa kumpulan itu telah bermula dengan matlamat mengedarkan 1,000 bungkusan, sambil menambah bahawa mereka telah melebihi 1,500 setakat ini dan akan meneruskan kerja mereka sehingga berakhirnya krisis COVID-19.

Beberapa orang sukarelawan sedang memuatkan bungkusan makanan dan detergen dalam beg ke dalam kereta untuk diedarkan di beberapa kawasan di ibu negara dan di kawasan pedalaman. – Xinhua
Gambar bertarikh 9 April 2020 menunjukkan para sukarelawan menyediakan pek yang mengandungi makanan dan detergen di Damsyik, Syria. – Xinhua

Beliau berkata bahawa kumpulan itu akan terus memberikan bantuan pada bulan Ramadan yang akan datang.

“Matlamat kami adalah untuk terus membantu sehingga selepas bulan Ramadan atau berakhirnya krisis ini dan kemudian kami kembali ke tugas utama kami seperti projek pembangunan dan kesedaran sosial, tetapi sekarang, kami sedang berusaha untuk membantu dalam menghadapi krisis ini,” katanya.

Para sukarelawan semua memakai topeng pembedahan, sarung tangan, dan pakaian perubatan untuk memastikan keselamatan semasa melakukan kerja mereka.

Marah al-Zain, seorang sukarelawan, memberitahu media bahawa dia suka dengan pekerjaan sukarelawannya, di mana beliau dapat membantu orang tanpa apa-apa balasan membuatnya gembira.

“Apabila saya melakukan kerja saya di sini, apa yang saya fikirkan adalah kebahagiaan atau senyuman yang mereka rasa akan dapat saya rasakan dan ini adalah perkara yang membuat saya bahagia,” katanya.

Al-Zain menambah bahawa dia berpendapat sesiapa sahaja boleh menjadi sukarelawan dan melakukan sesuatu untuk masyarakatnya tanpa menunggu sesuatu sebagai balasannya. Beliau berkata sukarelawan berhati-hati pada ketika ini supaya mereka boleh memberikan bakul-bakul yang bersih kepada keluarga yang memerlukan.

“Perbezaannya sekarang adalah kita perlu berhati-hati kerana kita berusaha sebaik mungkin untuk sentiasa dalam keadaan bersih supaya kita tidak menyebarkan sebarang penyakit kepada orang lain,” tegasnya.

Sehingga Khamis lalu, jumlah kes yang disahkan COVID-19 di Syria telah mencapai 19 kes, di mana dua orang telah meninggal dunia dan empat yang lain telah sembuh, kata Kementerian Kesihatan

Kerajaan Syria telah mengambil beberapa langkah untuk mencegah penyebaran COVID-19 di negara itu, termasuk perintah berkurung separa pada waktu malam, menangguhkan persekolahan, dan menutup sementara pasar-pasar serta perjalanan antara wilayah. – Xinhua