Sukarelawan turut bantu tangani COVID-19

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Keinginan untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat sebagai seorang sukarelawan lahir daripada nawaitu seseorang itu, di mana ia harus lahir secara ikhlas dalam diri mereka dan tidak mengharapkan pulangan tetapi semua yang dilakukan adalah dengan niat tulus ikhlas untuk membantu masyarakat dan negara yang berhadapan dengan wabak COVID-19.

Oleh itu, menerusi aktiviti kesukarelawan, para belia setentunya akan memperoleh pengalaman yang di luar daripada norma kehidupan harian dan memberikan kepuasan kepada mereka setelah membantu orang yang memerlukan, jelas Ketua Pusat Operasi Sukarelawan Belia, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh dalam temu bual bersama Media Permata di Hotel Grand City, Batu Bersurat, hari ini.

Beliau mendedahkan lagi bahawa Sukarelawan Belia akan bekerjasama dengan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara bersatu untuk membuat pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi membantu mereka yang terjejas oleh wabak COVID-19 seperti warga emas dan ibu-ibu tunggal.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman para sukarelawan menyertai aktiviti kesukarelawanan semasa COVID-19, Hajah Noor Monasalieana menyatakan bahawa bagi sukarelawan ia adalah satu pengalaman yang baharu bagi mereka kerana ia merupakan aktiviti yang sebenar dan bukannya satu latihan di mana mereka berhadapan dengan tugas-tugas yang menguji dedikasi serta semangat kerja berpasukan masing-masing.

Beliau menerangkan lagi bahawa pada awal pelaksanaan tugasan sukarelawan, terdapat kekeliruan dari segi term of reference (TOR) yang dikeluarkan namun begitu para sukarelawan belajar daripada kesilapan mereka dan memperbaikinya.

Hajah Noor [email protected] ketika ditemu bual oleh media.
Nurul Amal Haziqah salah seorang sukarelawan yang telah membantu masyarakat dan negara menangani wabak COVID-19.
.

“Ia merupakan satu yang baharu bagi mereka tetapi dalam kehidupan kita harus belajar daripadanya untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman kita,” tekannya.

Di samping itu, beliau akui bahawa mereka turut berdepan dengan pelbagai cabaran seperti berhadapan dengan ahli keluarga, menghadapi dan menangani keperluan para penghuni serta berhadapan dengan keperluan agensi-agensi yang terlibat sama, tetapi dengan penekanan amalan kaedah seluruh negara di mana semua pihak bergerak ke arah satu tujuan dan satu matlamat, segala usaha serta cabaran berkenaan dapat ditangani bersama dengan jayanya.

Bagi operasi bantuan kepada para pelajar yang telah menamatkan tempoh pengasingan diri, beliau menjelaskan bahawa kumpulan sukarelawan melaksanakan tugas dengan mengangkat beg para pelajar dan memasukkan beg berkenaan ke dalam kenderaan yang menanti mereka.

Sementara itu, bagi salah seorang sukarelawan, Dayang Nurrul Ainul Haziqah binti Kadir, tugasan di hotel yang digunakan bagi pengasingan diri adalah untuk menanyakan khabar para pelajar yang menjalankan pengasingan diri bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik, sihat serta jika mereka mengalami sebarang gejala untuk dilaporkan kepada pegawai perubatan yang bertugas.

Menerusi aktiviti kesukarelawanan itu, beliau menyatakan ia memberikan pengalaman yang amat berguna baginya di mana beliau mempelajari akan pentingnya kerjasama dan sokongan padu setiap pihak untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan jayanya.