RIO DE JANEIRO, 22 OKT – Seorang sukarelawan ujian klinikal bagi vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Universiti Oxford, meninggal dunia di Brazil, menurut pihak berkuasa, semalam.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu menerima vaksin berkenaan atau plasebo.
Ia adalah kematian pertama dilaporkan dalam ujian vaksin COVID-19 yang dijalankan di serata dunia.
Bagaimanapun, penganjur kajian itu memaklumkan, penilaian bebas telah membuat kesimpulan bahawa tidak timbul masalah membabitkan keselamatan, dan pengujian vaksin terbabit yang dibangunkan bersama firma farmaseutikal, AstraZeneca, akan diteruskan.
Media melaporkan, sukarelawan terbabit adalah seorang doktor berusia 28 tahun yang bertugas sebagai barisan hadapan dan meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.
“Semua insiden perubatan yang signifikan, sama ada peserta berada dalam kumpulan kawalan atau kumpulan vaksin COVID-19, dinilai secara bebas.
“Hasil penilaian teliti terhadap kes di Brazil, tiada kebimbangan mengenai keselamatan ujian klinikal itu. Malah penilaian bebas sebagai tambahan kepada yang dijalankan oleh pihak berkuasa Brazil, mengesyorkan supaya ujian itu diteruskan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Oxford. – AFP